KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turkiye terbuka untuk meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang industri aeroangkasa, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi catatan terbaharu di laman Facebooknya, Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat yang bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan sedia ada antara kedua-dua negara itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Malaysia Shahiman Sulaiman dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Republik Turkiye di Kuala Lumpur Sinan Cem Bas.

"Saya menekankan potensi kerjasama selanjutnya dalam bidang seperti teknologi aeroangkasa dan latihan penerbangan," katanya.

Pada pertemuan itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan terhadap hubungan baik yang terjalin sekian lama antara Malaysia dan Turkiye.

-- BERNAMA