Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia tidak akan mengkompromikan isu kedaulatan negara dalam usaha memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Walaubagaimanapun, beliau menegaskan bahawa mana-mana dasar yang dilaksanakan, pastinya akan ada pihak akan terjejas dan ini termasuk berkaitan perjanjian TPP.

"Sebagai contoh pembinaan lebuh raya, ia bagus dan kita dapat bergerak lebih cepat, tetapi pasti akan ada kemalangan juga.

"Apa yang penting, pembinaan lebuh raya ini mendatangkan faedah kepada negara, walaupun berlaku kemalangan," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri ke-22, bertajuk 'Perjanjian Perdagangan Antarabangsa: Apa untuk Malaysia?' di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, pada Jumaat dan rakamannya disiarkan Astro AWANI pada Sabtu.

Mustapa turut berkata kerajaan mengambil kira tiga parameter dalam menjalankan rundingan berkaitan perjanjian TPP.

Katanya, tiga parameter itu menjadi panduan rundingan yang meliputi perlembagaan dan undang-undang, hubungan Kerajaan Negeri dan Pusat serta dasar negara.

Mustapa berkata tiga parameter tersebut adalah isu Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, hak kerajaan negeri dan Pusat dan dasar-dasar negara.

“Kita negara merdeka, kita pastikan kepentingan terpelihara. Saya ingin tegaskan, tiga parameter ini jadi panduan kita,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa perjanjian tersebut masih dalam peringkat rundingan dan belum dimuktamadkan lagi.

“Beberapa pandangan dibawa ke meja rundingan adalah berasaskan konsultasi dengan pihak berkepentingan dan tiada yang telah dimuktamad,” katanya.

Beliau berkata, berkaitan alam sekitar, pihaknya telah berjumpa wakil Kerajaan Negeri yang tetap menegaskan soal air dan balak adalah hak negeri.

“Maka, itulah pendirian Kerajaan Pusat. Kita menyatakan tidak setuju dengan syarat dikenakan (dalam TPP).

"Begitu juga dalam soal ubat-ubatan, di mana dalam hal ini, kita tahu banyak pihak tidak setuju cadangan Amerika Syarikat, kerana ia akan membawa kesan buruk. Kita tidak akan setuju dengan cadangan yang memberi kesan buruk kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, berhubung akses pasaran pembinaan, rundingan juga telah dilakukan bersama persatuan kontraktor dan dewan perniagaan.

Beliau juga menafikan dakwaan tender pembinaan serendah kira-kira RM25 juta akan dibuka kepada negara luar apabila TPP dilaksanakan.

"Kalau tender nak bina sekolah di Jeli (Kelantan) pun boleh dibuka kepada AS, kita pun takut. Itu tak betul. Kita ada had nilai yang tinggi yang kita dah tetapkan untuk tender kerajaan," katanya.

Sementara itu, Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamadsebelum ini mengkritik perjanjian itu kerana menurutnya, ia adalah muslihat Amerika Syarikat untuk menembusi pasaran domestik negara-negara lain, malah dakwa beliau, perjanjian bukanlah sebuah perkongsian yang sama rata.

Klik video untuk melihat rakamannya.