KUALA LUMPUR: Malaysia bersama pertubuhan bukan (NGO) tempatan telah menghantar lebih 5,000 tan bantuan ke Gaza melalui sempadan Rafah, yang memberi manfaat  kepada  jutaan  rakyat Palestin, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata, selain itu, Malaysia juga telah menyalurkan bantuan berjumlah RM44.7 juta kepada beberapa agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), NGO tempatan dan lain-lain agensi demi rakyat Palestin.

Katanya, usaha penyaluran sumbangan dan bantuan itu melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), bagaimanapun melalui situasi mencabar setelah pintu sempadan Rafah ditutup oleh Rejim Zionis Israel sejak Mei lalu. 

“Satu-satunya laluan bantuan yang masih beroperasi adalah melalui Jambatan Raja Hussein di Jordan. Malaysia kini mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Jordan dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan.

“Malaysia juga bekerjasama erat dengan Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO) dan Pusat Kanser Raja Hussein (KHCC), untuk merawat rakyat Palestin yang menghidap kanser. Selain itu, 57 ‘air drops' yang ditaja oleh Kerajaan Malaysia telah berjaya dilaksanakan oleh Tentera Udara Jordan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mordi Kibol (PH-Mas Gading) yang ingin mengetahui pendirian semasa Kerajaan Malaysia serta bentuk bantuan kemanusiaan yang telah dihulurkan, selain kos yang diperuntukkan tahun 2023-2024 bagi krisis kemanusiaan Gaza sejak Perang Hamas-Israel bermula 7 Oktober 2023 sehingga kini.

Dalam pada itu, Mohamad, yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, beberapa program telah dikenal pasti dan sedang diperhalusi oleh kedua-dua belah pihak yang melibatkan jalan laut ke pelabuhan Aqaba, Jordan sebelum diserahkan kepada JHCO bagi penghantaran ke Gaza.

“Yang terkini, pada 17 Oktober 2024, Timbalan Perdana  Menteri, Menteri  Luar  dan Ekspatriat Kerajaan Hashimiah Jordan, Tuan Yang Terutama Ayman Safadi telah menelefon Yang Berhormat Menteri Luar untuk menjemput  Kerajaan Malaysia menyertai misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui misi jambatan udara, atau dengan izin, air bridge, di bawah inisiatif Baginda Raja Jordan Raja Abdullah II Ibn Al Hussein.

“Kerajaan Jordan kini sedang bekerjasama rapat dengan Tentera Udara British dan agensi-agensi  PBB  untuk menyelaraskan pengagihan bantuan tersebut, “ katanya lagi.

Mohamad berkata, misi tersebut berbeza dengan air drop kerana barangan bantuan akan dihantar terus ke satu kawasan khas sebelum diagihkan di Gaza.

Pada masa yang sama, tambahnya lagi, penghantaran bantuan melalui jalan darat masih diteruskan menggunakan Jambatan Raja Hussein, dan usaha sedang dibuat oleh Kerajaan Jordan untuk meningkatkan kapasiti penghantaran kepada 300 trak sehari daripada 110 trak.

Bagi bantuan pascakonflik dan jangka panjang, Mohamad berkata, sudah pastinya sokongan  berterusan Malaysia termasuk projek pembangunan semula akan dijalankan secara  kolektif melalui usaha sama oleh Kerajaan Malaysia, NGO tempatan dengan beberapa rakan penaja setelah konflik di Palestin reda.

“Seperti sedia maklum, selain daripada bantuan kemanusiaan ke Gaza, Malaysia juga menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin di Malaysia. Dana AAKRP juga diberikan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi bagi kemudahan pembiayaan dan elaun sara hidup untuk pelajar-pelajar Palestin yang melanjutkan   pengajian di Malaysia.

“Institusi Pengajian Tinggi Awam membiayai yuran sepenuhnya bagi rakyat Palestin, manakala Institusi Pengajian Tinggi Swasta memberi diskaun terhadap yuran pengajian sejak Oktober 2023,” katanya lagi.