KUALA LUMPUR: Ketika Malaysia terus berusaha mempromosikan kedudukannya sebagai hab digital serantau, negara perlu mengamalkan amalan keselamatan yang inovatif, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Amirudin Abdul Wahab.

Beliau berkata satu penyelesaian berpotensi positif yang telah mendapat tarikan di peringkat global ialah pengesahan tanpa kata laluan.

"Apabila pergantungan kepada kata laluan tradisional dihapuskan, kita boleh meningkatkan keselamatan di samping menambah baik pengalaman pengguna.

"Kaedah tanpa kata laluan seperti pengesahan biometrik, token perkakasan dan kod laluan sekali, menawarkan alternatif kukuh, lebih sukar untuk terjejas berbanding perakuan tradisional," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak FIDO APAC 2024 semalam.

Beliau berkata penggunaan pengesahan tanpa kata laluan akan mengukuhkan keselamatan siber Malaysia, sejajar dengan visi negara untuk mempunyai masyarakat digital yang lebih inklusif dan mudah akses.

"Ini mengurangkan beban pengguna untuk mengingati kata laluan yang kompleks dan risiko yang berkaitan dengan kecurian kelayakan.

"Ini bukan sahaja akan melindungi aset digital kita malah juga memberikan keyakinan dalam kalangan pelabur, perniagaan dan komuniti global terhadap komitmen kita dalam kecemerlangan keselamatan siber," katanya.

Amirudin berkata Malaysia terus komited untuk meningkatkan usaha keselamatan termasuk penguatkuasaan Akta Keselamatan Siber (Akta 854), yang menumpukan pengurusan ancaman dan insiden keselamatan siber.

Beliau brerkata akta itu juga meliputi usaha kawal selia penyedia perkhidmatan keselamatan siber melalui rangka kerja pelesenan.

"Pada masa sama, Malaysia sedang menyemak semula Akta Perlindungan Data Peribadi untuk menangani isu dan cabaran kontemporari, memastikan perlindungan data rakyat yang teguh.

"Kajian juga sedang dijalankan untuk cadangan Akta Keselamatan Dalam Talian yang bertujuan memperluas perlindungan daripada bahaya dalam talian serta tingkah laku kesat dan kandungan toksik yang berkembang," katanya.

CyberSecurity Malaysia ialah agensi pakar keselamatan siber kebangsaan di bawah bidang kuasa Kementerian Digital.

-- BERNAMA