KYOTO: Malaysia telah menerima manfaat daripada pelaburan Jepun sejak 60 tahun lepas terutama dalam teknologi pengangkutan dan sejak itu sektor berkenaan telah berkembang secara konsisten, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Johari yang mengetuai delegasi Parlimen Malaysia dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke Negara Matahari Terbit bermula Isnin berkata peningkatan hubungan dua hala antara Malaysia-Jepun terhadap Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) tiba pada masa yang tepat dan beliau amat yakin terhadap kejayaan terbabit yang akan melonjak ke tahap lebih tinggi.

"Kini kami berharap bukan sahaja untuk mengembangkan kerjasama ini, tetapi juga akan mengukuhkannya supaya kemakmuran bersama antara Malaysia dan Jepun mampu dicapai," katanya pada majlis makan malam yang dihoskan oleh Naib Gabenor Wilayah Kyoto dan Timbalan Datuk Bandar Kyoto Hironori Furukawa.

Majlis makan malam berkenaan yang diadakan di Kyoto State Guest House di Kamigyo Ward turut dihadiri isteri Johari, Puan Sri Noraini Mohd dan delegasi Parlimen Malaysia.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan isteri, Datin Suriyah Abdullah.

Johari turut menggesa sokongan yang lebih kuat memandangkan Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN tahun depan, menyediakan peluang untuk memperluas kerjasama antara Jepun dan negara ASEAN lain.

"Tahun depan, Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN, dan kami bekerjasama dengan agensi-agensi Jepun dalam bidang pertanian, kecerdasan buatan (AI), inovasi, teknologi makanan serta perubahan iklim.

"Kami berharap akan menjalin hubungan perdagangan yang lebih baik dengan Jepun dan membuka pintu kepada negara-negara ASEAN supaya rakyat Jepun dapat melabur lebih banyak di ASEAN dan mendapat manfaat daripadanya," katanya.

Terdahulu Johari diberikan taklimat di Keihanna Science City berkaitan Advanced Telecommunications Research Institute International (ATR) dan melawat National Diet Library.

-- BERNAMA