KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama ekonomi dengan Brazil dalam sektor semikonduktor dan tenaga, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Duta Besar Brazil ke Malaysia, Ary Quintella bagi membincangkan usaha mengukuhkan kerjasama ekonomi kedua-dua negara.

Mesyuarat itu sebagai persediaan bagi lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil pada November ini.

"Dalam mesyuarat itu, sektor semikonduktor menjadi keutamaan untuk kedua-dua negara selain berpeluang meluaskan kerjasama, khususnya dalam sektor tenaga," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Liew turut meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan syarikat-syarikat Malaysia seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Yinson Holdings Bhd serta Sapura yang lama bertapak di Brazil selain berjaya di peringkat global.

"Langkah seterusnya adalah meninjau peluang untuk usaha sama penyelidikan dan pembangunan dalam sektor tenaga dan disusuli dengan transisi tenaga hijau," katanya. - BERNAMA