Dalam komentar bertajuk "The Global South's Path to Resilience Economic" yang diterbitkan oleh Projek Syndicate, beliau berkata walaupun Daron Acemoglu, Simon Johnson dan James A. Robinson yang memenangi Hadiah Nobel menekankan mengenai institusi dan tadbir urus dengan menonjolkan ketidaksamaan sistemik, negara harus mengelakkan daripada mengambil mudah mengenai aspek kompleks berkaitan dinamik kuasa global.
"Cabaran yang kita hadapi hari ini bukan sahaja daripada penjajah sejarah malah pelbagai pelaku global termasuk syarikat, individu dan entiti bukan negara yang seringkali tidak menghiraukan undang-undang dan norma," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Beliau mengulangi pendirian bahawa Malaysia juga akan mengekalkan hubungan terbuka dan pragmatik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China, berasaskan saling hormat menghormati dan kepentingan bersama.
"Sekiranya persaingan antara Sino-Amerika menjadi seperti permainan zero-sum (kejayaan satu pihak hanya boleh dicapai dengan mengorbankan pihak lain), oleh itu tidak akan ada pemenang.
"Sehubungan itu, mengekalkan hubungan kukuh dengan kedua-dua kuasa berkenaan bukan sahaja mengenai aspek pragmatisme ekonomi. Ia adalah keperluan strategik untuk melindungi kepentingan negara dan memastikan kemakmuran dalam dunia yang semakin tidak menentu.
"Dengan memupuk hubungan yang seimbang dan membina bersama-sama China dan AS, Malaysia berhasrat untuk membangunkan asas ekonomi yang pelbagai, mengurangkan banyak bergantung kepada mana-mana negara atau blok tunggal, dan memperteguh kedudukan sebagai ekonomi berdaya tahan, terbuka dan berdaya saing," kata Anwar.
Beliau berkata komitmen terhadap inklusif dan kemampanan terletak pada teras agenda pembangunan Malaysia, membolehkan negara ini bertahan daripada tekanan yang berterusan dalam persaingan global dan tuntutan yang kadangkala tidak mahu berkompromi daripada negara-negara paling berkuasa di dunia.
Anwar menekankan bahawa Kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan pada 2023, mempunyai dua matlamat utama iaitu "menaikkan siling" menerusi pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan "menaikkan lantai" dengan memastikan kemakmuran dikongsi semua.
"Inklusif yang tulen, dengan kemakmuran bukan satu keistimewaan eksklusif sebaliknya hak kolektif, adalah bentuk daya tahan masyarakat yang sudah pasti," katanya.
-- BERNAMA
