Menteri Digital, Gobind Singh Deo mengutarakan minat Malaysia membangunkan kerjasama kepada pihak BSC semasa lawatannya ke pusat berkenaan semalam yang turut merupakan kumpulan penyelidikan superkomputer terkenal untuk akademia dan industri.
Gobind berkata, beliau didedahkan mengenai keupayaan komputer berprestasi tinggi dalam penerokaan cip-cip baharu yang boleh digunakan dalam pengembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Generative AI (Gen AI) semasa lawatan berkenaan.
Menteri Digital berada di Sepanyol bagi lawatan kerja tiga hari dan menghadiri Smart City Expo World Congress (SCEWC 2024).
"Selain daripada itu, kita juga melihat potensi perbincangan berkenaan dengan teknologi kuantum yang sedang membangun.
"Saya rasa kita harus juga memulakan perbincangan ini di Malaysia. Jadi... oleh sebab itu, semalam saya buat lawatan ke BSC," katanya kepada Bernama.
Gobind turut merujuk kepada beberapa universiti yang diketahui sedang melihat pada pembangunan teknologi kuantum untuk bekerjasama.
"Saya berharap... melangkah ke depan, kita dapat memeteraikan perjanjian ataupun persefahaman untuk kerjasama ini, ia akan membawa kepada banyak kebaikan dan faedah kepada Malaysia serta dari sudut kerjasama antara institusi-institusi pengajaran dan sebagainya," katanya.
Difahamkan komputer kuantum pertama untuk kegunaan awam di selatan Eropah akan dipasang di BSC - Centro Nacional de Supercomputacion (BSC-CNS) dan akan disepadukan ke dalam MareNostrum 5 yang merupakan superkomputer paling berkuasa di Sepanyol dan antara paling maju di Eropah dan dunia.
- BERNAMA