MANILA: Malaysia dan Filipina berminat untuk meneroka bidang kerjasama baharu termasuk dalam sektor industri halal, sekuriti makanan dan ekonomi digital bagi meningkatkan kerjasama ekonomi kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua pemimpin turut bersepakat untuk meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan.

"Kami (Malaysia dan Filipina) turut mengadakan perbincangan mengenai kerjasama bidang baharu dan penting seperti industri halal, sekuriti makanan, yang memainkan peranan penting dalam ekonomi dua hala.

"Selain itu  ekonomi digital juga antara bidang utama yang dibincangkan. Presiden (Filipina) dan saya bersetuju bahawa kedua-dua negara perlu meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada lawatan sulungnya ke Filipina pada Rabu.

Menurut Anwar, kedua-dua negara itu juga sepakat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama budaya, pelancongan, pendidikan dan sukan yang sedia terjalin.

Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaan untuk meneroka kerjasama baharu dalam bidang berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Malaysia dan Filipina akan menjadi tuan rumah mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-8, pada tahun ini.

Beliau memberitahu, mesyuarat itu akan diketuai Menteri Luar dari kedua-dua negara.

"Kami bersetuju untuk mengadakan mesyuarat Suruhanjaya Bersama yang akan diketuai Menteri Luar dari kedua-dua negara, pada satu tarikh yang akan dipersetujui bersama.

"Kali ini, kami (Malaysia dan Filipina) akan menjadi tuan rumah mesyuarat ini dan saya telah meminta rakan-rakan di Kementerian Luar untuk mengkoordinasi dan mempercepat proses ini," tambahnya.