KUALA LUMPUR: Malaysia dipilih untuk menduduki kerusi Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) untuk penggal 2023-2026 pada Persidangan Plenipotentiary ITU 2022 (ITU PP22) di Bucharest, Romania, semalam.

Malaysia meraih 147 undi daripada 180 undi sekali gus menduduki tempat kelima teratas dalam kalangan 13 negara yang merebut tempat bagi mewakili Zon Asia dan Australasia untuk jawatan berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang mengetuai delegasi Malaysia menyifatkan pencapaian itu sebagai satu penghormatan dan tanggungjawab kepada Malaysia selaku negara peneraju dalam bidang telekomunikasi dan ekonomi digital di rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata negara mempunyai pemain industri yang berpengaruh di peringkat global dan kerajaan juga sentiasa komited untuk membentuk hubungan dua hala yang lebih kukuh dengan negara anggota ITU.

"Kemenangan ini mencerminkan pengiktirafan Malaysia oleh ITU dan negara anggotanya terhadap kerjasama Malaysia dalam bidang telekomunikasi dan ekonomi digital di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, semalam.

Annuar juga optimis pengiktirafan itu mampu memperkukuhkan lagi perkembangan negara dalam bidang telekomunikasi dan ekonomi digital selari dengan hasrat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) di samping memelihara kepentingan negara dalam isu global berkaitan jurang digital serta keselamatan siber.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan itu adalah hasil usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Luar dalam mendapatkan sokongan di peringkat antarabangsa.


Telekomunikasi | Malaysia dipilih Ahli Majlis ITU untuk penggal 2023-2026

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota, rakan strategik serta penyedia rangkaian telekomunikasi di Malaysia.

"Malaysia menjadi ahli ITU sejak 1958 dan sentiasa terlibat aktif menyertai pelbagai aktiviti negara anggota. Malah kita juga komited menyokong aspirasi ITU bagi mencipta kesalinghubungan yang lebih baik dan mampu memberi manfaat inovasi digital kepada masyarakat global dan Keluarga Malaysia," katanya.

Menurutnya, harapan Malaysia sebagai Ahli Majlis yang bertanggungjawab dan komited adalah untuk terus bekerjasama dengan ITU dan negara anggota lain dalam misi mewujudkan masyarakat berinformasi selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Selain itu, kawal selia jalur lebar dan urusan berkaitan keselamatan rangkaian serta perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi yang menjadi tumpuan kerajaan dan sektor swasta di peringkat antarabangsa juga menjadi harapan negara.

Malaysia menyertai ITU PP22 yang dihadiri lebih 180 negara dari seluruh dunia yang berlangsung dari 26 Sept hingga 14 Okt ini.

-- BERNAMA