KUALA LUMPUR:Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperketatkan lagi kawalan sempadan di Sabah khususnya bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam usaha mengawal penularan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata langkah itu susulan situasi semasa penularan COVID-19 di negara ini termasuk Sabah yang mencatatkan peningkatan yang mendadak.

Katanya, beliau memandang serius perkembangan berkenaan dan telah mengarahkan semua agensi di bawah KDN supaya menggandakan usaha mengawal sempadan negara

“Saya telah arahkan bilangan anggota dan operasi dalam Op Benteng ditambah sebagai langkah memastikan pencerobohan PATI yang mungkin membawa virus COVID-19 dan penyebaran dalam kalangan rakyat tempatan dikekang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tegasnya, KDN akan terus memantau perkembangan di beberapa lokasi yang menjadi kawasan ‘panas’ kemasukan PATI khususnya di lorong tikus.

Setakat Jumaat, Malaysia merekodkan sebanyak 287 kes baharu COVID-19 membabitkan penularan tempatan, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.