Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengakhiri lawatan kerja selama dua hari ke Brunei pada 11 dan 12 Ogos, sempena Mesyuarat ke-25 Pelaksanaan Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei (EOL-25).
Semasa lawatan itu, Mohamad telah menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan perbincangan mereka menyentuh kerjasama dua hala serta isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.
"Selari dengan iltizam untuk mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan erat sedia ada, Malaysia dan Brunei telah menyatakan komitmen untuk terus meneroka bidang kerjasama baharu yang dapat memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.
Semasa lawatan kerja itu, Mohamad dan rakan sejawatannya dari Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof mempengerusikan bersama EOL-25.
EOL merupakan dokumen yang ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara pada 2009 yang menggariskan bidang keutamaan dalam hubungan dua hala.
"Kedua-dua pihak telah berbincang mengenai kemajuan yang telah dicapai sepanjang pelaksanaan Pertukaran Surat dan meneroka kerjasama baharu untuk terus meningkatkan hubungan kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.
Mengenai isu serantau dan antarabangsa, Kementerian Luar berkata Malaysia dan Brunei bersependapat bahawa perpaduan dalam ASEAN adalah amat penting untuk menjamin keamanan dan kemakmuran rantau Asia Tenggara.
"Brunei juga mengulangi sokongannya kepada Malaysia dalam usaha menjayakan Wawasan Komuniti ASEAN semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan," katanya lagi.
Mohamad dan Erywan merupakan tetamu kehormat pada majlis makan malam memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan Brunei.
Majlis itu turut dihadiri pembesar Brunei, pegawai kanan Kerajaan Brunei, dan Ketua Perwakilan Asing.
- BERNAMA