Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, perkara itu diumumkan pada sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) yang berlangsung di Asuncion, Paraguay dari 2 hingga 7 Dis ini.
Menurut kenyataan itu, pencalonan Kebaya: Knowledge, Skills, Traditions and Practices di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity adalah secara bersama Malaysia dengan empat negara berkenaan.
"Penyenaraian yang cukup berprestij itu telah diputuskan oleh IGC ICH yang dianggotai oleh 24 negara di bawah Konvensyen untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003.
"Pengiktirafan ini lebih bermakna apabila badan penilaian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf dosir pencalonan kebaya sebagai contoh dosir pencalonan yang jitu dan berprestij bagi fail pencalonan bersama," menurut kenyataan itu.
Menurut MOTAC, kejayaan penyenaraian itu menjadikan tiga pencalonan secara bersama telah berjaya diperoleh Malaysia selepas pantun bersama Indonesia (2020) dan Upacara Wangkang bersama China (2020).
Kenyataan itu menyebut pada masa sama, pengiktirafan ini turut meningkatkan visibiliti Malaysia di peringkat dunia sebagai negara dengan khazanah warisan kebudayaan tidak ketara yang berpotensi menjadi produk pelancongan dan menyumbang kepada ekonomi.
MOTAC turut menyifatkan kejayaan itu hasil usaha kolektif termasuk kerjasama erat dengan anggota negara ASEAN seperti Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand yang bersama-sama mempromosi kebaya sebagai simbol warisan serantau.
la juga merupakan tanggungjawab bersama untuk memastikan warisan seni budaya itu terus dilestarikan bagi generasi akan datang.
"Selain itu, kejayaan ini juga hasil kerjasama strategik di antara keluarga besar MOTAC termasuk Jabatan Warisan Negara, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO dan Kementerian Luar.
"Ini juga mempamerkan kepimpinan Malaysia di persada dunia sebagai usaha untuk menduduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi 2025-2029," menurut kenyataan itu. - BERNAMA