KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan langkah-langkah tambahan yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 28 Mac 2024 bagi kes berkenaan Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid di Gaza.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata biarpun Resolusi 2728 (2024) diterima pakai pada 25 Mac tahun ini, Israel tetap meneruskan operasi ketenteraannya di seluruh Gaza dan menyebabkan lebih banyak kematian orang awam, kemusnahan bangunan kediaman dan infrastruktur serta mengakibatkan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal.

"Tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan ini adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan pelbagai resolusi yang diterima pakai oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Perhimpunan Agung dan Majlis Hak Asasi Manusia.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan lagi tekanan ke atas Israel dan meminta ia memenuhi obligasinya, menegakkan undnag-undang antarabangsa dan menghentikan keganasan berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza yang kini mengalami kebuluran, malnutrisi dan penyakit," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Wisma Putra berkata Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, dan supaya Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB

-- BERNAMA