Walaupun di mana jua ketua pengganas Sulu, Azimuddie Kiram bersembunyi, Malaysia akan memastikan dia tetap dihadapkan ke muka pengadilan untuk bertanggungjawab ke atas perbuatannya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata pihak di Malaysia tidak akan menghadapi masalah untuk membawanya ke muka pengadilan di negara ini.

Beliau merujuk kepada laporan semalam, yang menyatakan bahawa ketua pengganas Sulu, Azimuddie Kiram telah melarikan diri ke Selatan Filipina.

Laporan itu kemudiannya dinafi jurucakap kumpulan pengganas, Jamalul Kiram III yang mendakwa Azzimuddie masih berada di Sabah.

“Dari hari pertama, saya tidak pernah mempercayai dengan apa jua yang didakwa oleh Jamalul Kiram. Dia boleh berkata apa sahaja yang dia mahukan.

“Jikalau Azimuddie berada di Filipina sekalipun, ianya bukan masalah bagi kami untuk mengekstradisi dia ke Malaysia kerana kertas siasatan telah pun disediakan dan dia akan berdepan jua dengan undang-undang di mahkamah,” kata Hamza kepada wartawan ketika sidang media ‘Operasi Daulat’ di Lahad Datu.

Beliau menambah, kerjasama di antara kerajaan Malaysia dan Filipina akan dapat memastikan Azimuddie dihadapkan ke mahkamah jika dia ditangkap.

Operasi ‘mopping-out’ atau penggeledahan masih lagi diteruskan dan kawasan operasi telah difokuskan ke kawasan Tanjung Batu.

Semalam, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md Zin menyatakan bahawa ketua pengganas Sulu, Azimuddie Kiram telah melarikan diri ke Selatan Filipina.

Ini berdasarkan maklumat risikan pihak keselamatan yang mendapati Azimuddie sudah tiada lagi bersama-sama dengan pasukan pengganasnya di Lahad Datu.

Namun begitu, laporan tersebut dinafikan sepenuhnya oleh Jamalul Kiram yang menyatakan bahawa Azimuddie masih berada di Lahad Datu bersama-sama anggota pengganasnya.

Sementara itu, pada hari ini anggota keselamatan telah menahan seorang lelaki yang dipercayai pengganas Sulu di kawasan Felda Sahabat 17.

“Suspek ditahan pada pukul 6.30 pagi ketika pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi dan kita percaya lelaki itu adalah pengganas. Namun tiada sebarang dokumen diri dan senjata ditemui bersamanya,” katanya lagi.

Suspek telah dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Operasi ‘mopping-out’ atau penggeledahan masih lagi diteruskan dan kawasan operasi telah tertumpu ke kawasan Tanjung Batu.

Selain dari pemeriksaan rumah ke rumah, pasukan keselamatan juga menumpukan usaha penggeledahan di kawasan ladang kelapa sawit dan hutan belukar.

Operasi ‘mopping-out’ atau penggeledahan masih lagi diteruskan dan kawasan operasi telah difokuskan ke kawasan Tanjung Batu.

“Dua kawasan iaitu Kampung Tanduo dan Sungai Nyamuk telah pun ‘dibersihkan’ dan kami berharap kawasan operasi kali ini akan berjaya diselesaikan pada petang ini atau selewat-lewatnya esok,” kata Hamza lagi.

Walaubagaimanapun penduduk ditegah dari memasuki kawasan berkenaan kerana perbincangan keselamatan masih lagi dijalankan oleh jawatankuasa keselamatan.

Pengganas kini dipercayai telah pun berpecah kepada kelompok kumpulan-kumpulan kecil dan keanggotaan mereka kini dianggarkan hanya 50 orang.

Malah dijangkakan masih terdapat 10 lagi mayat pengganas di kawasan operasi yang masih belum dikeluarkan.

Pasukan keselamatan juga menjumpai tiga mayat pengganas di dalam tiga kubur di sekitar kawasan Kampung Tanduo semalam.

“Mayat-mayat itu bukanlah baru sebaliknya mayat pengganas yang ditembak mati ketika pertempuran dengan pasukan keselamatan pada 1 Mac lepas,” kata Hamza.

Sehingga hari ini, seramai 61 orang pengganas Sulu berjaya ditumpaskan dan 104 pengganas dan individu yang mempunyai dengan pengganas ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Manakala, 232 orang lagi yang turut mempunyai kaitan dengan insiden ini ditahan kerana pelbagai kesalahan.

Sidang media itu turut dihadiri oleh Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Zaki Mokhtar.