Para pengunjung tidak lagi dibenarkan membawa makanan ke dalam Zoo Melaka, kata pengarah zoo Azman Gazali.

Azman berkata larangan untuk membawa masuk makanan dari luar ke dalam zoo akan berkuatkuasa serta merta demi keselamatan haiwan.

Garis panduan dikeluarkan susulan kepada kematian seekor kuda dan seekor beruang matahari Isnin dan Ahad lalu akibat makan buah-buahan beracun.

Azman berkata, “Semua pelawat akan diperiksa sebelum dibenarkan masuk ke dalam zoo untuk menggelakkan mereka daripada memberi makanan yang salah kepada haiwan.”

“Ini kerana semua jenis haiwan mempunyai diet tersendiri, haiwan juga sensitif terhadap sesetengah jenis makanan,” beliau menambah.

Pihak zoo juga akan mengambil lebih ramai pekerja untuk mengawasi haiwan dan gerak-geri pengunjung.

“Ia agak menyedihkan untuk melihat haiwan-haiwan ini mati dalam keadaan sebegini. Semua haiwan sekarang berada dalam pemantauan, pihak zoo sedang mengawasi gerak-geri mereka dan mereka juga telah diberi banyak air untuk diminum,” kata beliau.

Walaupun, punca kematian telah diketahui namun sumbernya masih belum lagi dipastikan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis untuk mengenal pasti siapa yang memberikan makanan beracun itu kepada haiwan-haiwan berkenaan,” Azman berkata.

Tambahnya pihak zoo dan polis sedang menunggu keputusan dari makmal untuk memastikan bahan kimia apa yang digunakan untuk meracun buah-buahan itu.

Sementara itu, pengarah Perhilitan Mohammad Khairi Ahmad pula berkata buah-buahan beracun itu turut ditemui di kandang kuda, beruang, Orang Utan, tapir dan cimpanzi.

Walaubagaimanapun, tapir dan cimpanzi tidak menjamah buah-buahan itu.

Khairi berkata Orang Utan yang memakan buah-buahan itu sempat diberi ubat dan kini berada dalam keadaan stabil.