KAMUNTING: Empat orang cedera, termasuk dua parah selepas sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal di Jalan Kamunting, Taman Glen View, di sini, hari ini.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.53 tengah hari.


Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting digerakkan ke lokasi.


“Kejadian pokok tumbang itu melibatkan dua buah kenderaan dihempap dahan pokok menyebabkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dinaiki lima orang dan sebuah motosikal jenis Yamaha yang dinaiki dua orang.


“Dua orang yang menaiki Perodua Alza mengalami kecederaan ringan dan tiga lagi selamat manakala  penunggang serta pembonceng motosikal yang dipercayai anak beranak, cedera parah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal sebelum diserahkan pada pihak perubatan untuk tindakan lanjut. - Foto JBPM


Menurutnya, kesemua mangsa yang berada di dalam Perodua Alza adalah perempuan yang berumur antara 15 hingga 35 tahun manakala penunggang motosikal seorang lelaki anggaran umur 40-an dan pembonceng seorang remaja perempuan dianggarkan berumur 15 tahun.


Sabarodzi berkata, ketua operasi melaksanakan size-up, seterusnya mengarahkan anggota membuat kerja-kerja memotong dahan pokok hingga keadaan benar-benar selamat.


Katanya, mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal sebelum diserahkan pada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.


Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ilyas Ramli turut menjalankan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang.