Anak lelakinya yang turut dituduh dilepaskan dengan bon sebanyak RM10,000.
Tertuduh Mariyah Yaakob, 48, dan Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 23, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membuat penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu melakukan kesalahan terhadap mana-mana kaum lain.
Perbuatan itu dilakukan menerusi rakaman video di aplikasi TikTok dan telah ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai di sini, pada jam 6 petang, 16 November 2023.
Pendakwaan terhadap ibu tunggal tiga orang anak itu dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, anaknya yang juga Pengarah syarikat Mariyah Holding didakwa secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 November 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar dalam prosidingnya mencadangkan hukuman setimpal dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan mereka telah menyentuh isu 3R iaitu Race, Religious, Royalty yang begitu serius.
Hujahnya lagi walaupun kedua-dua tertuduh telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia menerusi media sosial namun ia bukan alasan untuk meringankan hukuman terhadap mereka.
Peguam kedua-dua tertuduh, Kamal Hisham Jaafar dalam rayuannya memohon hukuman ringan dikenakan dengan alasan pengakuan salah yang dibuat anak guamnya telah menjimatkan masa mahkamah.
Dalam hujahnya Kamal Hisham berkata, permohonan maaf yang pernah dilakukan di media sosial membuktikan kedua-dua anak guamnya benar-benar telah insaf kesalahan yang dilakukan dan tidak akan mengulanginya.
Hakim Azaraorni memerintahkan Mariyah membayar denda sebanyak RM40,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Mariyah yang berbaju hijau kemudian dilihat membayar denda berkenaan selepas hukuman itu dijatuhkan.
Ezuan Hafsham pula dikenakan bon sebanyak RM10,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin rakyat Malaysia.
Bon untuk berkelakuan baik itu dikenakan memandangkan Ezuan Hafsham masih menyambung pengajiannya di University of Reading di United Kingdom.
Sinar Harian pada 7 Disember tahun lalu melaporkan ibu tunggal itu dan anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Media sebelum itu melaporkan wanita tersebut telah hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada bagi rakaman percakapan setelah polis menerima sebanyak 14 laporan berhubung klip tular wanita berkenaan yang mengeluarkan kata-kata ‘orang Melayu malas’ ketika membuat penstriman langsung di TikTok, bulan lalu.
Pada 27 November tahun lalu juga, Mariyah dan anaknya telah membuat permohonan maaf secara terbuka berkaitan kes tersebut dan mendakwa ia ditujukan kepada bekas pekerja syarikat berkenaan serta sebagai motivasi kepada masyarakat. - Sinar Harian