Semua pihak terutama syarikat korporat disaran agar sentiasa peka dengan isu berkaitan wanita bagi memastikan kesaksamaan terhadap golongan itu sentiasa terpelihara di negara ini.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, bagi memastikan program kepekaan dan kesaksamaan gender dilaksanakan secara berkesan, kementeriannya akan mewujudkan Majlis Penasihat Gender.

"Majlis ini berperanan membantu kerajaan untuk mematuhi kesaksamaan gender di peringkat negara dan antarabangsa seperti Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW)," ujarnya.

Selain itu, Majlis Penasihat Gender juga berperanan mengupayakan peranan wanita dalam sektor ekonomi selaras dengan pendekatan transformasi kerajaan.

Sambil memberi contoh kesaksamaan gender dalam bidang pendidikan, Rohani memaklumkan, ia akan membawa kepada kejayaan wanita dan seterusnya kepada anak, keluarga masyarakat dan keluarga.

"Jika wanita berjaya dalam bidang pendidikan, ia tentunya akan mendidik anak-anak untuk berjaya," katanya.

Memetik pepatah inggeris, "If you teach a man, you educate an individual, but if you teach a woman, you educate a whole generation", wanita yang berpendidikan katanya, akan membawa kepada negara yang progresif dan seterusnya membawa ke arah negara maju pada tahun 2020.

Dalam ucapannya, Rohani turut menekankan kejayaan Malaysia menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam bidang pendidikan selaras Artikel 10 Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita.

"Ini terbukti daipada peratusan peruntukan di semua peringkat pengajian tinggi yang menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun," kataya.

"Sejak 2009 hingga 2012, lebih 62% mahasiswa peringkat sarjana muda di institut pengajian tinggi awam adalah wanita, sementara bagi pengambilan baru tahun akademik 2013/2014, 28,280 atau 68.02% daripada 41,573 penuntut adalah wanita," tambahnya lagi.

Rohani pada masa sama berbangga dengan pencapaian golongan wanita yang berjaya mencapai matlamat dasar yang ditetapkan pada 2004, apabila lebih 30% wanita diperingkat pembuat keputusan dalam Sektor Awam.

Rohani berkata demikain ketika berucap melancarkan majlis sambutan Hari Wanita Sedunia 2014 di sini, hari ini.

Sempena Hari Wanita Antarabangsa tahun ini, acara Purple Walk akan diadakan pada 29 Mac 2014, serentak di seluruh negara.