Majikan diminta mengutamakan warga tempatan dalam pemberian pekerjaan di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata ada antara majikan dilihat lebih gemar menggaji warganegara asing berbanding pekerja tempatan.

"Saya bersetuju bahawa ada sektor yang masih memerlukan pekerja asing kerana kita masih belum bersedia. Contohnya, di sektor perladangan kita perlukan pekerja asing. Tetapi bagi kerani di pejabat sektor perladangan tidak perlu (menggaji) pekerja asing.

"Sama seperti stesen minyak, pekerja asing diluluskan bekerja sebagai pump attendant, tetapi kita dah mula lihat di kaunter stesen minyak dah ada pekerja asing. Ini amalan yang buruk.

"Saya minta pemilik stesen minyak, kurangkanlah (pekerja asing). Kita tak perlukan pekerja asing di kaunter untuk mengutip bayaran," katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), pada Rabu.

Saravanan berkata majikan juga perlu memberi peluang pekerjaan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan ekoran pandemik COVID-19, termasuk golongan belia dan ibu tunggal.

Menurutnya, dalam krisis ekonomi yang dihadapi kini, beliau percaya rakyat tempatan terutamanya belia tidak lagi memilih pekerjaan dan telah bersedia menceburi industri kotor, berbahaya dan sukar (3D).

"Mungkin dahulu ada yang tak nak bekerja dan ada yang menyatakan warga tempatan tak akan ceburi 3D. Tetapi hari ini keadaan luar biasa, ramai yang akan kehilangan peluang pekerjaan ... kita perlu beri peluang kepada mereka," katanya.

Saravanan berkata kerajaan menerusi inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja dengan peruntukan RM1.5 bilion sebagai insentif kepada majikan menyediakan peluang pekerjaan bagi pekerja tempatan yang dijangka memanfaatkan lebih 300,000 penganggur.

-- BERNAMA