Sikap mahu bangunan cepat siap dan mendapat pulangan segera menyebabkan kurangnya kesedaran untuk memperbanyakkan bangunan berkonsepkan tradisional dan warisan negara ini, ujar Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Malah lebih mengecewakan beliau, negara hari ini mula dipelopori dengan konsep bangunan ukiran moden dan menjadi pilihan utama pemaju projek berbanding ukiran tradisional.

"Saya rasa tak dapat dijadikan ciri-ciri ini sebab mereka tidak peka, mereka ingin bangunan cepat siap, cepat dapat duit, cepat dapat pulangan.

"Siapalah nak menunggu ukiran dari jepara, nak menunggu ukiran batu dari Jogjakarta, mungkin mereka kata ini tidak perlu.

"Sekarang saya nak tanya mana bangunan mencerminkan Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan atau Johor misalnya. Jadi semua bangunan kita petak-petak, blok-blok, simen, itu sahaja," katanya kepada media selepas merasmikan Pameran Warisan Jogjakarta di Galeri KAED di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) di sini hari ini.

Justeru, kerajaan disaran memperbanyakkan pembinaan bangunan tradisional dan warisan negara selaras dengan peruntukan yang ada dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005

Jelasnya, langkah itu bagi memelihara seni bina tempatan yang menjadi identiti negara demi masa depan generasi akan datang.

Pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan agensi kerajaan terlibat bagi memastikan cadangan berkenaan dapat dilaksanakan.

"Kita memang bercadang untuk bertemu dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menzahirkan ini sebagai satu obor dan satu perjuangan.

"Mudah-mudahan ia akan menjadi sebahagian daripada tamudun Malaysia akan datang dan juga tamadun Nusantara melibatkan Indonesia," katanya lagi.

Justeru katanya, latihan budaya dan warisan antara universiti dan peringkat serantau akan diadakan bagi memberikan kepakaran yang sepatutnya kepada pelajar yang akan melaksanakan projek pembinaan bangunan dengan seni bina tradisional.

"Oleh itu, harapan kita supaya Kuliyyah Seni Bina UIAM dapat terserlah sebagai pemula pertama apatah lagi ada sisipan budaya dari Jogjakarta, kita boleh menyatukan perasaan seni kita dan perasaan budaya kita, di samping program latihan.

"Kita maklum bahawa seni dari Seberang laut itu baik juga, tetapi ia tidak mencerminkan kita , kita akan ketinggalan," katanya.

Beliau turut menjadikan Perancis, Jepun dan China sebagai contoh negara yang menzahirkan kebanggaan mereka terhadap seni dan budaya melalui ukiran tradisional pada bangunan mereka.

"Ciri-ciri bangunan tempatan dan Melayu harus dicerminkan dalam semua bangunan rasmi. Entah bagaimana seruan ini telah tidak dapat dijayakan setelah kita merdeka 57 tahun," ujarnya.