GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng terhadap Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng dan akhbar berbahasa Inggeris, The Star.

Lim, yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, memfailkan saman itu pada Mac tahun lepas berhubung pendapat Tan yang diterbitkan dalam ruangan "Letter to the Editor" akhbar The Star yang menuntut Lim menjelaskan dakwaan bahawa RM4 juta daripada perbendaharaan persekutuan diberikan kepada sebuah sekolah rendah Cina di Johor dengan syarat nama sekolah itu ditukar.

Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon memutuskan bahawa komen yang dibuat oleh Tan dalam tulisan pendapat itu tidak berunsur fitnah dan mengarahkan Lim membayar RM20,000 kepada Tan dan RM30,000 kepada akhbar itu sebagai kos.

"Selepas perbicaraan penuh, saya menolak tuntutan plaintif. Kenyataan itu bukan fitnah. Plaintif seorang ahli politik dan pemimpin kanan DAP, yang menyertai pilihan raya negeri Johor apabila kenyataan yang dikatakan itu dibuat. DAP diketahui sebagai musuh politik MCA.

"Siapa sahaja akan berpendapat bahawa mempolitikkan sekolah rendah Cina adalah perkara yang boleh dilakukan oleh ahli politik, seperti plaintif dan sesiapa sahaja daripada DAP, dalam keadaan itu. Malah, plaintif bersetuju bahawa beliau membuat ucapan politik mengenai sumbangan DAP kepada sekolah rendah Cina," katanya.

Hakim itu berkata turut menjadi fakta yang dipersetujui bahawa plaintif, menjelang pilihan raya negeri Johor, menyatakan bahawa semasa menjadi Menteri Kewangan, beliau telah memperuntukkan RM4 juta kepada sekolah rendah Cina di Johor.

"Ini, pada fikiran saya, adalah tindakan berpolitik. Oleh itu, tiada apa-apa pun dalam dakwaan 'mempolitikkan' yang mempunyai kecenderungan untuk mendedahkan plaintif kepada kebencian atau penghinaan dalam fikiran seseorang atau akan cenderung untuk merendahkannya dalam masyarakat secara amnya.

"Kenyataan yang dipersoalkan itu, apabila dibaca secara keseluruhannya, hanyalah gesaan agar Lim menjelaskan dakwaan yang timbul semasa pilihan raya negeri Johor dan yang tidak dinafikannya," tambah beliau.

Lim diwakili oleh peguam Simon Murali dan Kok Yuen Lin; Tan oleh Ng Kian Nam, Tan Paik Hong, dan Law Quan Wei; manakala The Star oleh Abdullah Abdul Rahman dan Deanna Ternisha.

-- BERNAMA