Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 9 Nov depan untuk pengurusan kes peguam Kamal Hisham Ja'afar yang mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa sebagai pengarah syarikat.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan tarikh baharu itu bagi membolehkan pihak pembelaan mendapatkan dokumen lengkap daripada pihak pendakwaan.

Pada prosiding hari ini, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Azies Han Mohd Fadzil berkata terdapat dokumen yang diperlukan dalam kes itu yang belum diperoleh pihaknya.

"Sepatutnya hari ini adalah untuk menyerahkan dokumen lengkap, namun, terdapat dokumen yang belum dirampas dan dokumen itu perlu bagi kes ini.

"Mohon tarikh 9 Nov untuk melengkapkan dokumen dan tarikh baharu bagi pengurusan kes ini," katanya.

Kamal Hisham, 45, yang kini ditahan di Pusat Tahanan Ayer Molek, di sini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 8 Sept lepas.

Dia dituduh menyalah guna kedudukannya sebagai Pengarah Syarikat Southern Ads Sdn Bhd berhubung penyewaan ruang niaga di JB Sentral, di sini, antara 2009 dan 2011 mengikut Akta Syarikat 1965.

Kamal Hisham diwakili peguam Mohd Ashram Zakaria dan Datuk Hanif Hassan.

Anggota keluarga beliau turut hadir di mahkamah hari ini bagi mengikuti prosiding berkenaan.

Prosiding pengurusan kes itu sebelum ini dilakukan 11 Okt lepas, namun, hakim sebelum ini, Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh baharu hari ini kerana pihak pendakwaan masih menunggu baki 10 peratus lagi dokumen yang akan diterima daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sebelum diserahkan kepada
pembelaan.