Seorang peniaga kedai runcit diperintah menjalani tahanan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di sini oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati tidak waras ketika membunuh abangnya, tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin membuat keputusan itu berdasarkan keterangan dan laporan perubatan oleh Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta Datuk Dr Suaran Singh.

Beliau berkata penahanan tertuduh di hospital berkenaan dijalankan selama perkenan Sultan Perak.

Puah Hock Seng, 57, dituduh membunuh abangnya Phoon Hor Sai, 68, dengan menggunakan kapak di rumah No. 432, Laluan Simee 9, Kampung Simee di sini pada pukul 10 pagi, 19 Mac 2013.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika memberi keterangan sebagai saksi tunggal pihak pembelaan, Dr Suaran berkata berdasarkan rawatan yang diberikan, Puah didapati menghidapi penyakit mental dan kemurungan.

"Saya berpendapat semasa dia melakukan perbuatan itu, dia berada dalam keadaan mental tidak waras, tidak sedar perbuatan itu salah di sisi undang-undang," katanya.

Beliau berkata tertuduh juga memenuhi syarat-syarat mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Seksyen 84 memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang yang pada masa melakukannya, oleh sebab akalnya tidak sempurna, tidak berupaya mengetahui apa yang dilakukannya sama ada salah atau berlawanan dengan undang-undang.

Sementara itu ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, peguam pemerhati kepada keluarga mangsa, Chong Kok Yew berkata keluarga mangsa menerima keputusan mahkamah hari ini dengan hati tenang.

"Kami tidak akan melakukan apa-apa prosedur undang-undang, kami menerima sahaja," katanya yang sebelum itu memberi penerangan kepada keluarga mangsa.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong mengemukakan enam saksi, manakala peguam Datuk Naran Singh mewakili tertuduh.