KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan enam wanita warga China untuk menangguhkan penghantaran mereka ke negara itu, sementara menunggu permohonan habeas corpus atau penahanan salah yang difailkan selesai.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas peguam J.Matthews yang mewakili jurutera, Fu Xiaoling, 40, artis opera Fu Xiaoyan, 37, perunding teknikal, Zhong Li, 27, pembantu akaun, Ai Xi, 31, model Huang Ting, 33, dan pemegang pas lawatan, Zhao Jinming, 26, membuat permohonan itu, dan tiada bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman.

"Mahkamah membenarkan permohonan (penangguhan) itu dan menetapkan 2 Okt ini untuk mendengar permohonan habeas corpus," kata Hakim Azhar.

Enam wanita itu selaku pemohon memfailkan permohonan habeas corpus pada 9 Sept lepas, dengan menamakan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Ketua Pengarah JIM, Menteri Dalam Negeri, Komandan Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.

Kesemua wanita terbabit memohon agar mahkamah membebaskan mereka serta-merta tanpa syarat daripada tahanan di bawah kawalan serta jagaan Komandan Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Menerusi afidavit sokongan, Matthews berkata keenam-keenam wanita itu ditahan oleh JIM dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan pada 22 Ogos lepas, dan selepas tamat tempoh reman mereka diperintahkan untuk diusir daripada negara ini walaupun kesemua pemohon mempunyai Visa kemasukan ke Malaysia secara sah.

Beliau mendakwa pemohon-pemohon yang merupakan pemegang pas pekerjaan yang sah dan pas lawatan juga tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan atau dijatuhi hukuman bagi mana-mana kesalahan bersangkut dengan tangkapan ke atas mereka sejak 22 Ogos lalu.

Sehubungan itu, katanya perintah tahanan dan pengusiran yang dikeluarkan ke atas pemohon-pemohon bersifat pra-matang, tidak disokong bukti kukuh serta penyalahgunaan kuasa dan suatu tindakan melebihi peruntukan dalam Akta Imigresen 1959/1963.

-- BERNAMA