PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman untuk mendapatkan pasportnya buat sementara bagi membolehkan beliau berkunjung ke Thailand.

Syed Saddid sebelum ini merayu agar pasportnya diserahkan buat sementara kepadanya bagi membolehkan beliau menghadiri acara Asean Halal Pavilion anjuran Tahira Group yang akan berlangsung di Bangkok, Jumaat dan Sabtu ini.

Panel tiga hakim yang dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin, bersama dua Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, membenarkan permohonan itu selepas ia tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali.

Terdahulu peguam Syed Saddiq, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata aak guamnya itu dijemput ke acara berkenaan oleh Tahira Group, dan dan pasport itu akan dikembalikan semula kepada mahkamah pada Isnin, 9 Ogos.

Beliaiu turut memohon mahkamah menyediakan surat pengesahan penyerahan sementara pasport itu kepada Ketua Pengarah Imigresen bagi memudahkan perjalanan anak guamnya itu ke Thailand.

Pada 9 Nov tahun lalu, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman hukuman penjara 7 tahun dan denda RM10 juta berserta dua sebatan selepas mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah, penyelewengan dana dan penggubahan wang haram.

Beliau kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada hari yang sama.

Syed Saddiq, 31, bekas Menteri Belia dan Sukan dari 2018 hingga 2020, dituduh bersubahat bersama-sama bekas Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali, menyeleweng RM1 juta dana Armada dan melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2 pada 6 Mac, 2020.

Bagi kesalahan kedua, Syed Saddiq dituduh menyeleweng RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, dan kemudiannya mengarahkan Rafiq melenyapkan wang tersebut.

Syed Saddiq turut turut didakwa dengan dua lagi tuduhan penggubahan wang haram melalui transaksi berjumlah RM50,000 setiap satu yang dipercayai diperoleh daripada kegiatan haram, daripada akaun Maybank Islamic Bhd miliknya yang kemudiannya dipindahkan kepada akaun Amanah Saham Bumiputera di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk menangguhkan kesemua hukuman terhadapnya.

Pengurusan kes ditetapkan pada 20 Sept nanti.

-- BERNAMA