KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah metropolis bernama Kuala Lumpur ini, sebuah premis kecil menjadi tumpuan puluhan individu yang beratur dengan tenang, sabar menunggu giliran untuk mengambil bantuan makanan, kebanyakannya adalah muka-muka biasa.
Dalam kalangan mereka, seorang wanita menarik tumpuan. Berkulit sawo matang dengan wajah yang jelas dimamah usia, tubuh kecilnya yang melidi itu sedikit bongkok, seolah-olah memberi gambaran akan beban berat yang dipikulnya selama ini. Namun, pada usia 75 tahun - didedahkan kepada Bernama selepas beberapa pertemuan - dia masih cergas.
Ceritanya kepada Bernama, dia hanya kembali mengulangi Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku yang dikendalikan oleh Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) itu baru-baru ini, selepas beberapa tahun tidak memerlukan bantuan pusat tersebut. Katanya dia tidak ada pilihan setelah wang simpanannya habis dikebas orang.
"Saya kena tipu RM31,000. Diorang (mereka) cakap nak kasi duit raya. Saya macam kena pukau. Saya pergi bank, sign paper (tandatangan dokumen). (Saya) Ingat dia nak masukkan duit, tapi dia keluarkan duit (saya). Semua habis," katanya, pilu.
"Dua hari saya tak makan. (Hanya) Nangis je."
Dia mati akal kerana dia tidak mampu bekerja dan bergantung pada bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Dia berkira-kira untuk kembali ke sisi keluarganya di Kelantan, namun bimbang situasinya akan bertambah teruk.
Setidak-tidaknya di sini dia ada rumah, katanya. Dia menyewa rumah flat kos rendah pada kadar RM150 sebulan dan tinggal bersama-sama anak angkat lelaki berusia 28 tahun. Si anak yang bekerja dengan gaji harian, akan menghulurkan wang kepadanya jika ada duit. Jika tidak, mereka berdua akan bergantung pada bantuan JKM. Setakat ini anaknya masih belum dapat mencari pekerjaan tetap.
Kehilangan wang simpanan itu membuatkan kehidupan mereka umpama telur di hujung tanduk. Andainya dia atau anaknya mengalami masalah kesihatan yang besar, maka akan melaratlah hidup mereka. Malah, sekarangpun dia mengadu sakit dalam perut dan lutut.
Wanita ini melambangkan risiko dan akibat kekurangan pilihan yang dihadapi oleh kira-kira dua juta penduduk miskin tegar di Malaysia, satu masalah yang mahu dikurangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika tidak dapat dibasmi. Bagaimanapun, usaha ke arah itu dilihat amat sukar kerana terdapat banyak isu lain yang perlu ditangani secara seiring.
HARGA KEMISKINAN
Status isi rumah di Malaysia diukur menerusi pendapatan dan dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu Kumpulan Isi Rumah Berpendapatan 40 Peratus Terendah (B40), Kumpulan Isi Rumah Berpendapatan 40 Peratus Pertengahan (M40) dan Kumpulan Isi Rumah Berpendapatan 20 Peratus Tertinggi (T20). Kategori B40 dan M40 masing-masing ada empat peringkat, sementara T20 ada dua. Bermula tahun depan, kerajaan akan menyemak semula pengkelasan pendapatan isi rumah dengan memasukkan pendapatan bersih sebagai pengukur dalam menentukan tahap kekayaan.
Kerajaan sebelum ini menyemak semula kadar garis kemiskinan kebangsaan daripada RM980 kepada RM2,208. Susulan itu, bilangan isi rumah yang berada di bawah garis kemiskinan meningkat kepada 5.6 peratus pada 2020, demikian menurut data terkini Bank Dunia.
Sejak berdekad lalu, Malaysia menyalurkan bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah menerusi subsidi bersasar dan bantuan kewangan. Secara keseluruhannya, inisiatif itu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini daripada 50 peratus pada 1970-an kepada kurang 10 peratus sekarang, merangkumi segelintir penduduk di luar bandar dan di bandar.
Pakar yang menyambut baik inisiatif itu, bagaimanapun berkata usaha untuk mengurangkan jumlah miskin tegar bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Kata mereka, walaupun terdapat pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan untuk golongan miskin, banyak kekangan yang menghalang.
Pendek kata, kebanyakan penduduk miskin tegar di negara ini tidak mampu menikmati kemudahan tersebut disebabkan oleh kemiskinan itu sendiri.
Ahli ekonomi yang juga bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Prof Datuk Dr Madeline Berma yang banyak menjalankan kajian tentang kemiskinan, berkata Malaysia menggunakan kaedah bersasar, iaitu golongan miskin perlu terlebih dahulu mendaftar dengan kerajaan dan disusuli proses pengesahan. Situasi ini boleh menjadi penghalang buat kebanyakan orang miskin.
"Seseorang itu perlu mendaftar dengan e-Kasih (pangkalan data bersepadu isi rumah miskin kebangsaan) bagi melayakkan dia mendapatkan bantuan. Kalau dia adalah orang Penan yang tinggal jauh terpencil, tujuh hari berjalan kaki (untuk sampai di pusat bantuan terdekat), dan tidak tahu tentang e-Kasih, bagaimana dia nak mendaftar?" katanya.
Jika seseorang itu dapat mendaftar sekalipun, mereka masih berdepan halangan seperti pengangkutan, ujar beliau lagi. Bergantung di mana mereka tinggal, sesetengahnya tidak mampu membayar kos perjalanan ke pejabat pegawai daerah yang bertanggungjawab mengagihkan bantuan kepada orang miskin.
Mengambil contoh keadaan di Sarawak, katanya: "Zaman dulu, bantuan JKM cuma RM70. Kos perjalanan dari rumah panjang ke pejabat daerah bagi mengambil bantuan itu ialah sekitar RM30 ke RM40 untuk tambang bot.
"Bagi orang susah, benda paling mahal dalam belanjawan mereka ialah makanan, disusuli pengangkutan. Dua isu ini, jika dapat ditangani, akan membantu kita dari banyak segi (dalam mengurangkan kemiskinan)," tambah beliau.
AKSES
Situasi sedemikian - membelanjakan duit yang begitu susah diperoleh untuk pergi mengambil bantuan demi kelangsungan hidup - amat difahami oleh seorang lelaki cacat penglihatan yang ditemu bual Bernama.
Saban hari, warga emas berusia 62 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Low itu, menaiki bas dari Rawang ke Kuala Lumpur sebelum menyambung perjalanan dengan MRT, menuju pusat khidmat gelandangan tersebut.
Di situ, dia diberikan tiga bungkus makanan percuma - mengandungi nasi, sumber protein sebagai lauk dan sayur - untuk sarapan, makan tengah hari dan malam. Dia keluar rumah pada 11 pagi setiap hari bagi memastikan dia tiba tepat pada waktu, kerana makanan mungkin kehabisan jika dia lambat sampai. Usai mengambil makanan, dia menaiki MRT dan bas untuk pulang ke rumah.
Menurut Low, dia menerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan, dan daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya RM110 dibelanjakan untuk kos perjalanan. Buat masa ini dia tinggal di sebuah rumah yang didirikan secara haram di atas tanah milik orang dan tidak perlu membayar sewa, sekali gus membolehkannya menyimpan sedikit wang. Dia berusaha untuk tidak berbelanja bagi benda yang tidak perlu.
"Baki yang saya tidak belanjakan, saya masukkan dalam (akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Saya tidak mahu gunakan wang itu," katanya, menambah simpanannya kini berjumlah RM20,000. Duit itu katanya akan digunakan bagi membiayai kos tinggal di rumah jagaan warga emas apabila tiba masanya.
Selain seorang kakak, dia tidak ada ahli keluarga yang lain. Di rumahnya pula hanya ada sebuah cerek, mesin basuh, tilam dan radio.
Sekalipun perjalanan hariannya itu tidak sukar, Low merungut tentang kemudahan yang disediakan untuk Orang Kurang Upaya (OKU). Sebagai OKU penglihatan, ketiadaan elevator yang berfungsi di sesetengah stesen pengangkutan awam, membuatkan dia berisiko terjatuh.
Aktivis yang memperjuangkan hak OKU, Murugeswaran Veerasamy yang mesra dipanggil Muru, berkata penambahbaikan kemudahan untuk OKU, bukan sahaja di dalam pengangkutan awam tetapi di semua tempat, akan membantu mengurangkan jumlah miskin tegar secara keseluruhan.
Sekalipun Malaysia tidak ada angka tepat golongan OKU yang hidup daif, kajian mendapati ramai rakyat negara ini yang kurang upaya tidak dapat mencari rezeki. Mereka termasuk golongan tua yang menjadi kurang upaya dari segi fizikal apabila meningkat usia walaupun keadaan mental mereka masih baik.
"Kuota (menggaji OKU) dalam sektor kerajaan dan swasta ialah satu peratus. Pada masa ini, saya rasa hanya 0.02 peratus pekerja adalah OKU sedangkan sistem kuota ini dilaksanakan sejak berdekad lalu," kata Muru.
Beliau dan beberapa pakar lain juga mengingatkan pihak berwajib bahawa dasar mengurangkan kemiskinan tidak boleh menerima guna pendekatan "satu penyelesaian untuk semua". Sehubungan itu, kata Muru, bantuan yang disalurkan harus mengikut acuan mereka yang dibantu.
"Kenal pasti dan asingkan mereka serta berikan bantuan yang betul agar mereka boleh menyumbang kepada diri sendiri, keluarga dan negara. Jika kita beri mereka bimbingan yang betul, mereka akan dapat hidup dengan baik," katanya.
DOKUMEN
Akan tetapi, pengkelasan sebegini turut dilihat sebagai satu keistimewaan yang menjadi halangan besar buat sesetengah golongan miskin tegar. Rata-rata bantuan kemiskinan di Malaysia adalah untuk rakyatnya, bermakna mereka perlu ada dokumen diri.
Bagaimanapun bukan mudah bagi sesetengah mereka ini mendapatkan dokumen itu. Menurut pakar, hal itu adalah isu lazim yang membuatkan roda kemiskinan terus berputar.
Presiden Pertiwi Datuk Munirah Abdul Hamid memberitahu Bernama, beliau tidak terkejut sekiranya bilangan mereka yang hidup daif jauh lebih tinggi daripada jumlah rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Menurut beliau, hanya golongan yang memiliki hak keistimewaan sahaja dapat masuk dalam pengkelasan, sementara yang lain terpinggir.
Mega, wanita gelandangan berusia 38 tahun, boleh membuktikan akibat tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Sebelum ini dia tinggal dengan ibunya, seorang warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah, yang menyewa di sebuah rumah kedai. Dia tidak tahu siapakah ayahnya. Mungkin rakyat Malaysia, mungkin bukan.
Ibunya telah meninggal dunia, dan dia pula tidak mempunyai sijil kelahiran. Dia yang tidak pernah bersekolah, belajar menulis dan membaca daripada kawan-kawan. Dia juga tidak tahu sama ada ibu bapanya berkahwin, dan jika ayahnya adalah rakyat Malaysia, maka dia layak menerima bantuan kerajaan.
Oleh sebab tidak ada dokumen pengenalan diri, Mega tidak boleh diambil bekerja secara sah, sekali gus menyukarkannya untuk mencari rezeki ataupun mendapatkan ubat HIV yang diperlukannya.
Di sebalik kepayahan hidup yang dihadapinya, wanita ini mesra dan mudah senyum, menayang barisan gigi yang berlompang.
"Sekarang susah, masih happy tapi rindu (mak)," katanya.
Dr Berma berkata kebanyakan miskin tegar tidak tahu tentang kepentingan mendapatkan dokumen yang perlu. Beliau mengakui proses mendapatkan MyKad adalah panjang, selalunya mengambil masa sehari suntuk, sekali gus menyukarkan mereka yang bekerja dengan gaji harian dan juga mereka yang tinggal jauh.
Bagaimanapun kata beliau, dokumen itu adalah satu keperluan.
"Sekiranya mereka tahu betapa pentingnya untuk anak mereka memiliki kad pengenalan, mereka akan berusaha mendapatkan dokumen itu," katanya, menambah proses itu seharusnya dipermudah.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Jun 23 2023
Usaha untuk mengurangkan jumlah miskin tegar bukan sesuatu yang mudah dilakukan. - Gambar hiasan
Isu Laut China Selatan: Tidak perlu pertelagahan - PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penyelesaian isu Laut China Selatan dengan China tidak perlu melibatkan pertelagahan sebaliknya akan dibincangkan secara bilateral dan 'hati ke hati'.
Kerajaan Sabah, Sarawak tidak dipinggir dalam rundingan berkaitan Laut China Selatan
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin menolak andaian kerajaan persektuan tidak mendapatkan pandangan kerajaan Sabah dan Sarawak dalam rundingan berkaitan isu Laut China Selatan.
Bayi tujuh bulan meninggal dunia di rumah pengasuh
Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut selepas ditemukan tidak sedarkan di dalam buaian ketika berada dalam jagaan pengasuhnya.
Fasiliti daif jejas pengisian pegawai perubatan
Lukanisman berkata cabaran besar yang berlaku di Sabah adalah penempatan atau pengisian jawatan pegawai perubatan tidak mencapai jumlah yang optimum berikutan masih terbeban dengan fasiliti yang daif.
KKM laksana pelbagai strategi rapatkan jurang nisbah doktor di Sabah
Keutamaan kepada pegawai perubatan anak kelahiran Sabah untuk berkhidmat di negeri itu, antara strategi dan inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merapatkan jurang nisbah doktor khususnya di Sabah.
Enam isu rakyat diangkat ahli Parlimen Sipitang
Enam isu rakyat terutama masalah infrastruktur asas di kawasan Sipitang dibangkitkan Ahli Parlimen itu, Datuk Matbali Musah ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Tiada perjumpaan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM di Genting Highlands - KP Kastam
Jabatan Kastam Diraja Malaysia nafi adanya perjumpaan antara Ketua Pengarah Kastam dan Pengarah-Pengarah Kastam bersama dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM di Genting Highlands.
Polis nafi dakwaan gagal siasat kes dokumen palsu hak milik tanah di Kedah
Polis menyifatkan dakwaan yang disebarkan melalui akaun TikTok 'Abuismailabuyaziz' itu adalah tidak benar dan berniat jahat.
Teknologi AI: Arab Saudi rancang pelaburan AS$100 bilion saingi UAE
Inisiatif itu, yang dipanggil "Project Transcendence", juga akan memberi tumpuan kepada merekrut bakat baharu, membangunkan ekosistem tempatan dan menggalakkan syarikat teknologi untuk melakukan pelaburan sumber.
Trump - China: Pelabur mungkin cenderung kepada Jepun, India
Pemerhati pasaran melihat kemungkinan dana mengalir ke India dan Jepun ketika pelabur menilai pendirian anti-China Trump, termasuk ancaman untuk mengenakan tarif sebanyak 60 peratus ke atas barangan China.
WFP PBB umum segera luaskan bantuan makanan kecemasan di Sudan
WFP memperluaskan bantuan makanan kecemasan dan pemakanan di #Sudan dengan segera di tengah-tengah ancaman kebuluran yang semakin mendesak.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Warga Israel punggah, selerak bantuan untuk Gaza
Mereka bertindak kejam menaburkan bungkusan makanan di jalan raya, bagi menghalang bantuan itu dinikmati warga Palestin.
Trak bawa tahanan, mayat ke Gaza bertindak sekat bantuan
Trak yang membawa kedua-dua mayat dan tahanan ke Gaza melalui persimpangan utama Kerem Shalom kerap menahan penghantaran bantuan.
WCK kembali operasi di Gaza
WCK pada Selasa memaparkan beberapa gambar yang menunjukkan sebilangan kakitangan dan sukarelawan bekerja di Gaza.
'Apa guna AS hantar bantuan tapi terus beri senjata kepada Israel?'
Michael mendakwa, apa yang berlaku sebagai tidak masuk akal.
Yusuf Islam bakal wujudkan 'Peace Train' di Malaysia
Beliau memilih Malaysia sebagai cawangan bagi menubuhkan Peace Train pertama di luar negara, kerana imej negara ini.
Tembak penduduk ketika ambil bantuan tidak boleh diterima - PBB
Tindakan kejam Israel adalah langsung tidak boleh diterima terutamanya ketika penyaluran bantuan yang sekarang ini sangat mustahil.
Lebih 100 maut, 750 cedera di Gaza ketika dapatkan bantuan makanan
Angka kematian yang disahkan setakat ini adalah 112 mangsa manakala lebih daripada 750 orang cedera dalam kejadian itu.
Penduduk Palestin serbu pantai Gaza selepas pesawat gugur bantuan makanan
Walaupun ada barangan makanan itu jatuh ke laut penduduk tetap berusaha mendapatkannya dan ada yang menggunakan bot kecil.