KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) memohon maaf kepada pelanggan berikutan peningkatan kelewatan serta pembatalan penerbangan baru-baru ini yang menjejaskan perkhidmatan Malaysia Airlines dan Firefly.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata gabungan faktor, termasuk cuaca, cabaran teknikal, tenaga kerja, kekangan rantaian bekalan dan normalisasi berterusan operasi penerbangan global selepas pandemik telah menyumbang kepada kesukaran operasi semasa.

"Kami memahami kesulitan besar yang ditimbulkan oleh gangguan ini, dan kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kami sedang mengambil langkah segera bagi menangani punca isu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata MAG turut terjejas oleh kelewatan penghantaran pesawat Boeing 737-8 tahun ini.

Kapten Izham mengakui bahawa cabaran tersebut telah berlarutan kepada beberapa siri gangguan, sehingga memberi kesan kepada jadual penerbangan.

"Pemasaan penerbangan yang disebabkan oleh kelewatan teknikal biasanya menghasilkan kesan domino berpanjangan selama beberapa hari atau minggu bergantung kepada ketersediaan pesawat gantian untuk syarikat penerbangan," katanya.

Keputusan yang dibuat dalam menangguhkan atau membatalkan penerbangan tidak pernah dipandang ringan, malah sentiasa mengambil kira keselamatan penumpang dan anak kapal.

Beliau seterusnya berkata kumpulan itu komited untuk memulihkan operasi seperti biasa secepat mungkin.

"Pasukan kami bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menangani isu ini dan meminimumkan gangguan pada masa hadapan," tambahnya.

Baru-baru ini, terdapat laporan berita mengenai kelewatan penerbangan pada penerbangan Firefly di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, serta aduan mengenai perkongsian kod penumpang.

-- BERNAMA