KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meletakkan golongan generasi kedua asnaf sebagai salah satu sasaran untuk dibangunkan dalam usaha mengurangkan kebarangkalian anak-anak ini mewarisi kemiskinan ibu bapa mereka.

Timbalan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS, Mohd Nurhisyam Shamsir berkata, fokus tersebut merupakan salah satu strategi dan objektif jangka masa panjang selaras dengan usaha agensi itu untuk membawa keluar kumpulan sasar daripada kepompong kemiskinan.

“Dalam ruang lingkup pembangunan generasi kedua ini terdapat empat aspek yang kami kenal pasti iaitu penyediaan kemahiran diri, pembentukan sikap dan nilai, rangsangan dan dorongan motivasi kecemerlangan serta akses kepada pendidikan berkualiti.

“Kami juga dalam proses perbincangan dengan beberapa pihak berwajib untuk melaksanakan Projek Sekolah Angkat Zakat (PROSAZ) di mana program pembangunan khusus untuk anak-anak asnaf ini dapat dilaksanakan di peringkat sekolah,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI pada Sabtu.



Bagi membantu proses pembelajaran atas talian ketika krisis kesihatan pandemik COVID-19, LZS pada tahun lalu telah mengagihkan sebanyak 5,646 unit tablet kepada anak-anak asnaf yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Agensi tersebut turut menyediakan satu asrama khas bagi pelajar-pelajar asnaf di Selangor yang dinamakan sebagai Baitul Hasanah.

Mereka bukan sahaja disantuni dari segi kebajikan, malah pelbagai program dan inisitiaf dilaksanakan bagi memangkin aspek kecemerlangan para pelajar di bidang akademik serta ko-kurikulum.

Ditanya berhubung bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), Mohd. Nurhisyam berkata, pihaknya membuka peluang bantuan Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) kepada kumpulan tersebut.

“Pemohon yang berjaya akan menerima bantuan one-off bergantung kepada kategori institusi pengajian tinggi ataupun sekolah rendah dan menengah.

“Malah, untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar Tahfiz di Selangor dalam meningkatkan dan mengekalkan tahap hafazan mereka, LZS turut menyalurkan bantuan one-off kepada setiap pelajar dan ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor serta pusat-pusat tahfiz yang berdaftar.

"Dalam pada itu, LZS berharap golongan asnaf kini memiliki mindset yang betul dan berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup mereka serta tidak bergantung harap kepada bantuan zakat semata-mata.

"Matlamat akhir adalah supaya mereka boleh keluar daripada kategori fakir miskin kepada kualiti kehidupan lebih baik sehingga membolehkan mereka menjadi penyumbang semula sebagai pembayar zakat," katanya.