KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling tergendala disebabkan gangguan teknikal yang berpunca daripada kebakaran di salah satu komponen di landasan berhampiran Stesen PWTC pada Ahad.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian pada jam 9.58 pagi itu telah menyebabkan perkhidmatan LRT mengalami kelewatan.

Katanya, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan polis tiba di lokasi kejadian pada jam 10.15 pagi untuk melakukan kawalan dan pemantauan.

"Pasukan kejuruteraan Rapid Rail juga menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk mengembalikan operasi secepat mungkin," tulis kenyataan itu pada Ahad.

Susulan kejadian, Rapid Rail telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif bagi membolehkan pengguna meneruskan perjalanan masing-masing.


Perkhidmatan tren perantara tersedia di antara Stesen Sultan Ismail dan Stesen Sentul Timur serta tren dari Stesen Ampang dan Putra Heights, serta berpatah balik di Stesen Sultan Ismail.

Rapid Rail dalam pada itu memohon maaf atas kesulitan yang terpaksa dihadapi para penumpang.

Dalam kemas kini terkini jam 3 petang tadi, Rapid Rail memaklumkan kerja baik pulih di landasan terbabit kini selesai.

"Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara juga ditamatkan.

"Jadual perjalanan telah diselaraskan dan perkhidmatan tren beroperasi normal," tulis kenyataan itu lagi.