Ringkasan AI
- Sebuah lori tangki terbabas di Kilometer 28, Lebuhraya Karak pada Rabu, dipercayai akibat masalah brek. Lori tersebut membawa muatan minyak sawit dan dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun.
- Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika lori dalam perjalanan dari Kelantan ke Pelabuhan Klang. Tiada kenderaan lain terlibat dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika lori tangki berkenaan dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Pelabuhan Klang.
"Lori membawa muatan minyak sawit itu dipandu seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun dipercayai mengalami masalah brek dan gagal berfungsi.
"Lori terbabit kemudiannya hilang kawalan sebelum terbabas di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, kemalangan bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan lain.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Pavinar Krishnamurthy di talian 017-4424699 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah lori tangki terbabas di Lebuhraya Karak pada Rabu.
Video itu dipercayai diambil daripada kamera papan pemuka kenderaan lain yang berada di lokasi ketika kejadian itu berlaku. -Sinar Harian