Logo 1Malaysia hari ini diturunkan di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pasar Sentral Labuan, 10 hari selepas pembentukan kerajaan Pakatan Harapan.

Dua unit logo gergasi itu yang berukuran lebih kurang 11.5 meter tinggi dan 5.7 meter lebar mula diturunkan sejak awal pagi sehingga jam 2.02 petang.

Kerja menurunkan logo 1Malaysia ini adalah selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan bertarikh 14 Mei yang turut melibatkan gambar bekas perdana menteri, bekas menteri besar dan bekas ketua menteri di semua UTC di seluruh negara.

Logo 1Malaysia dilancarkan tidak lama selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui negara pada tahun 2009.

Jabatan Penerangan Malaysia Labuan turut membuka enam unit poster papan iklan yang berkaitan dengan 1Malaysia di seluruh Labuan sejak minggu lepas.

-- BERNAMA