PORT DICKSON: Kadar literasi kesihatan rendah dalam kalangan masyarakat boleh digambarkan sebagai wabak Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang membebankan individu, keluarga dan masyarakat termasuk sistem kesihatan negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia termasuk golongan muda yang sepatutnya berada pada fasa paling aktif dan sihat dalam hidup mereka.

Beliau berkata perkara itu perlu dicegah segera kerana ia boleh menjadi barah dalam masyarakat sekali gus berisiko mewariskan bebanan penyakit kepada generasi akan datang.

"Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, satu daripada dua dewasa mempunyai berat badan berlebihan manakala satu daripada enam dewasa menghidap kencing manis dan empat daripada lima dewasa berusia 18 hingga 29 tahun tidak tahu mereka menghidap kencing manis.

"Kita telah pun melepasi pandemik penyakit berjangkit seperti COVID-19 datang dan pergi khasnya...sejurus lepas tinggalkan pandemik kita berdepan penyakit kronik tiga serangkai ini pula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Dzulkefly berkata pendekatan negara terhadap kesihatan harus beralih daripada merawat kepada bersifat mencegah, menggalak dan meramal yang melibatkan pengislahan tingkah laku kesihatan.

Beliau berkata pemerkasaan agenda kesihatan haruslah bermula di barisanhadapan, iaitu peringkat akar umbi setiap masyarakat seluruh negara dan ejen kesihatan komuniti MyCHAMPION perlu digerakkan berlandaskan kesedaran itu.

Menurutnya, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) iaitu tunjang utama agenda kesihatan negara telah dibangunkan dengan pendekatan seluruh negara dan melibatkan jentera kerajaan, swasta, sektor ketiga dan kelompok akar umbi.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berharap kerajaan mempertimbangkan pembinaan sebuah hospital baharu di negeri ini bagi menampung kekangan dan kesesakan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

Beliau berkata HTJS kini dalam proses naik taraf dan berlakunga pengurangan bilangan katil sebanyak 17 peratus atau 188 unit berbanding 1,134 unit sebelumnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata berdasarkan rekod, Negeri Sembilan adalah antara negeri yang masih belum mempunyai perkhidmatan kardiologi seperti di Perlis, Melaka dan Labuan walaupun HTJS merupakan hospital utama di Negeri Sembilan.

"Saya memohon kepada Menteri Kesihatan untuk mewujudkan Klinik Pakar Kardiologi di HTJS bagi memudahakan rakyat Negeri Sembilan mendapatkan perkhidmatan dari pakar di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA