Buah limau, angpau dan kuih bakul sempena sambutan Tahun Baru Cina melambangkan kebahagiaan dan simbol kemakmuran berbilang kaum rakyat Malaysia yang berada di dalam dan luar negara.

Kordinator WeMalaysia Australia Queensland, Ezreen Zaffran Kamal Ariffin berkata Tahun Baru Cina yang diraikan masyarakat Tiong Hua ialah perayaan yang melambangkan suatu episod perjalanan yang bermula, memupuk rasa sayang antara satu sama lain, dan mengalakkan nilai-nilai murni.

"Selain itu, amalan tradisi kunjung mengunjungi sahabat dan jiran tetangga semasa sambutan Tahun Baru Cina bukan sahaja menerap rasa muhibah, malahan mengekalkan keharmonian yang diwarisi sejak sekian lama.

"Ia menjadi signifikasi kepada perpaduan masyarakat Malaysia, khususnya yang akan menyambutnya dengan kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai tidak kira bangsa dan agama," katanya kepada Astro AWANI, di sini, hari ini.

BACA: Khairy masak ikan cuit hati netizen sempena Tahun Baru Cina

TONTON:
Iklan Tahun Baru Cina TNB imbau tradisi perayaan berbilang kaum

Ezreen Zaffran diumumkan sebagai Kordinator WeMalaysia Australia Queensland yang baharu berkuat kuasa 12 Februari lepas.

Beliau menggantikan Muhammad Noor Ikhwam Noordin yang menamatkan pengajian dari University of Queensland dan pulang ke tanah air untuk memulakan karier di Khazanah.

Sepanjang tahun 2015, 2016 dan 2017, Muhammad Noor Ikhwam telah menjalankan tugas penting menjadi penggerak utama WeMalaysia dalam program kolaborasi bersama persatuan pelajar Malaysia di Queensland dan menjadi penasihat kepada Presiden WeMalaysia Australia.

Dalam pada itu, Presiden WeMalaysia Australia, Muhammad Ali Halim Sirat menyifatkan Tahun Baru Cina adalah perayaan penting dan istimewa kepada masyarakat Tiong Hua dengan amalan tradisi mereka.

"Ia termasuk jamuan yee sang, makan besar bersama keluarga dan perarakan tarian naga atau singa dengan kereta berhias diiringi bunyi gendang.

"Manakala, pada 16 Februari ini, menurut kepercayaan astrologi Cina, akan meninggalkan Tahun Ayam Api 2017 dan menyambut Tahun Anjing Tanah 2018 yang diramal menjanjikan tahun yang lebih seimbang.

"Sebagai suntikan motivasi dan refleksi diri, tahun ini adalah tahun terbaik pembuka jalan untuk kita semua bekerja keras menempa kejayaan, bijak dalam membuat keputusan dan memupuk silaturahim sesama kita walau di mana jua kita berada," ujarnya.

Sementara itu, Koordinator WeMalaysia Amerika Syarikat – East Coast, Faris Mazlan berkata, tradisi Tahun Baru Cina masih diamalkan sehingga ke hari ini membuktikan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa masih bersatu dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Tradisi balik kampung, kunjung mengunjung dan majlis rumah terbuka amat sinonim dengan amalan rakyat Malaysia setiap kali menyambut perayaan besar seperti Tahun Baru Cina.

"Sebagai sebuah gerakan pelajar yang cintakan negara, #WeMalaysia USA sangat menyokong dan mengalu-alukan pelajar-pelajar Malaysia berbilang bangsa di AS untuk menyambut perayaan ini dengan semangat perpaduan dan hormat-menghormati.

"#WeMalaysia USA juga ingin mengajak golongan muda terutamanya pelajar-pelajar Malaysia di AS untuk menghargai keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh negara ketika ini yang merupakan hasil dari semangat toleransi semua bangsa dan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin membina negara," kata Faris.

Justeru, jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk mempertahankan keamanan dan kesejahteraan ini supaya ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

WeMalaysia merupakan satu gerakan terbuka yang digerakkan oleh pelajar Malaysia di luar negara.

Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).