Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan dan seorang bayi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baharu Segamat, Mohd Aizad Mamat ketika dihubungi Astro AWANI berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 6.11 petang tadi dan jentera membabitkan lapan anggota termasuk pegawai dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, setiba di lokasi, didapati tiga mangsa termasuk seorang lelaki dan seorang wanita dewasa sudah meninggal dunia akibat tersepit di tempat duduk hadapan.
Katanya lagi, seorang kanak-kanak yang duduk di bahagian belakang juga ditemukan meninggal dunia.
"Seorang kanak-kanak dan bayi perempuan yang duduk di belakang berada dalam keadaan kritikal dan dibawa ke Hospital Segamat, namun bayi itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Tambahnya, mereka masih memantau perkembangan mangsa kanak-kanak perempuan yang kritikal.
"Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan," kata Mohd Aizad.
Siasatan awal mendapati kereta itu dari arah Segamat ke Johor Bahru secara tiba-tiba berpusing beberapa kali dan masuk ke laluan bersebelahan lalu bertembung dengan bas ekspres dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat dalam pada itu berkata kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.