IPOH: Lima pelajar lelaki berusia 16 dan 17 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes seorang pelajar tingkatan satu dipukul sehingga mengalami kecederaan, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, kesemua mereka dibebaskan petang semalam selepas pihak polis mengambil keterangan.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Kita telah mencadangkan kepada pihak sekolah agar mengambil tindakan disiplin.

“Dalam masa sama, kita masih menjalankan siasatan kerana bapa mangsa ada membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam media melaporkan polis menahan lima pelajar lelaki berusia 16 dan 17 tahun bagi membantu siasatan kes seorang pelajar tingkatan satu dipukul sehingga mengalami kecederaan.

Azizi berkata, tangkapan dibuat setelah menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa dipukul oleh pelajar tingkatan empat dan lima di sebuah sekolah menengah di sini, 24 Julai lepas.

"Mangsa telah mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengesan suspek lain yang terlibat.

Azizi berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan menyeru orang ramai agar tidak mengambil sebarang tindakan menyalahi undang-undang serta tidak menimbulkan sebarang spekulasi.