Lima lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan pemburuan haram di daerah ini.

Kesemua suspek berusia 27 hingga 47 tahun itu ditahan dalam tempoh empat hari Ops Taskforce dilaksanakan, yang berakhir pada Selasa.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini berkata operasi membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar, Yayasan Sabah serta badan bukan kerajaan termasuk WWF Malaysia itu menyasarkan kawasan Hutan Simpan Kalabakan, Hutan Maliau Basin, Hutan Simpan Sapulut, Hutan Simpan Gunung Rara, Ulu Sungai Kuamut selain kawasan ladang kelapa sawit.

"Hasil daripada operasi itu, empat tangkapan dilakukan dengan kes pertama di Hutan Simpan Sapulut membabitkan tiga lelaki ditahan kerana memiliki tiga ekor babi hutan tanpa lesen manakala kes kedua seorang lelaki ditahan di ladang kelapa sawit kerana memiliki sepasang tanduk rusa, sepucuk senjata menyerupai senjata api, 1.7 kilogram daging rusa serta tiga butir peluru hidup jenis shotgun bersama sebutir kelongsong peluru.

"Kes ketiga melibatkan tangkapan seorang lelaki kerana memiliki 47 helai bulu disyaki bulu Burung Enggang Badak tanpa lesen di kawasan ladang kelapa sawit manakala kes keempat melibatkan rampasan satu bangkai babi hutan selain satu plastik disyaki organ babi hutan dan sebatang besi tajam disyaki digunakan untuk memburu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Mashor berkata kesemua kes yang melibatkan hidupan liar itu akan di siasat di bawah Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 manakala senjata api dan peluru haram disiasat dibawah Seksyen 8 (a) Akta Senjatapi 1960.

"Ops kali ini sekali gus dapat membanteras jenayah hutan, aktiviti pemburuan haram serta menangani salah guna senjatapi dan peluru haram dalam aktiviti pemburuan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mashor mengingatkan orang awam supaya tidak terlibat dengan pemburuan haram terutama di kawasan hutan simpan untuk memastikan khazanah alam tidak pupus.

Sementara itu katanya Ops Taskforce Bersepadu itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

--BERNAMA