KANGAR: Lima lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh anggota polis di Arau pada 27 Sept lepas.

Mohd Firdaus Abdul Hadi, 34, Muhammad Alif Saiful Ahmad Zaini, 31, Muhammad Badrul Amin Ahmad, 26, Muhammad Yasin Zairi, 20, dan Abdul Tawwab Abd Ghalib, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Mohd Firdaus, Muhammad Alif Saiful, Muhammad Badrul Amin dan Muhammad Yasin dituduh cuba melakukan bunuh bersama seorang lagi yang masih bebas terhadap anggota polis dengan melanggar kereta Proton Waja bernombor pendaftaran WKB 4660 yang dinaiki anggota polis menggunakan kereta Proton X70 bernombor pendaftaran VED 8178.

Sementara itu, Abdul Tawwab pula dituduh melakukan perbuatan cubaan bunuh terhadap anggota polis dengan memandu kereta Perodua Myvi nombor pendaftaran VLA 8914 dengan laju serta berbahaya dan cuba merempuh anggota polis.

Kesemua mereka didakwa berbuat demikian bersebelahan kedai cermin kereta, Permai 2, Jalan Satu, Taman Jejawi di Arau, antara 4 pagi hingga 4.20 pagi pada 27 Sept lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan didenda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera boleh dipenjara maksimum 20 tahun.

Majistret Nurshahida tidak membenarkan kesemua mereka diikat jamin.

Kelima-lima mereka turut mengaku tidak bersalah melakukan khianat bersama seorang lagi yang masih bebas dengan memotong kabel milik Telekom Malaysia (TM) sehingga menyebabkan kerosakan pada harta tersebut di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan berkenaan dan menetapkan 24 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala Mohd Firdaus, Muhammad Alif Saiful, Muhammad Badrul Amin dan Muhammad Yasin diwakili Peguam Datuk Ganesan Subramaniam sementara Abdul Tawwab diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhamad Amirul Mansor.

-- BERNAMA