SEREMBAN: Lima penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas keseluruhan 21 pertuduhan menerima rasuah bernilai antara RM600 hingga RM2,250 berkaitan perkhidmatan pengurusan mayat di sebuah hospital kerajaan di Negeri Sembilan.

Tertuduh yang bertugas di Jabatan Forensik sebuah hospital itu merupakan NS Sharvinder Singh, 40, S Vickneswari, 55, P Veeramaly, 50, Mohd Nor Ali, 36, dan Wan Mohd Fazlan Shah Shasim, 41.

Kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan di bacakan secara berasingan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan kelima-kelima tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Penolong Pegawai Perubatan U32 serta Pembantu Perawatan Kesihatan U14 dan U11 telah secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang berjumlah RM600 hingga RM2,250 menerusi traksaksi dalam talian ke dalam akaun bank milik mereka.

Suapan itu diterima daripada dua individu yang merupakan pemilik syarikat berkaitan pengurusan mayat.
Ia sebagai upah untuk memberikan maklumat kematian dan waris si mati hospital kerajaan tersebut kepada individu berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di beberapa buah bank di sekitar Seremban, Kuala Pilah dan Mantin di sini antara 5 Jun 2021 hingga 9 Februari 2023.

Sehubungan itu, mereka telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua puluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainudin.

Sementara itu, Peguam G.Visanathan mewakili Sharvinder Singh manakala peguam, Paul Krishnaraja bagi pihak Vickneswari dan Veeramaly serta peguam, Datuk Hanif Hassan mewakili Mohd Nor dan Wan Mohd Fazlan Shah.

Mahkamah kemudian membenarkan Sharvinder Singh diikat jamin RM10,000, Vickneswari (RM6,000), Veeramaly (RM4,000), Mohd. Nor (RM5,000) dan Wan Mohd. Fazlan Shah (RM3,000) masing-masing dengan seorang penjamin.

Kesemua tertuduh juga perlu melapor diri di Pejabat SPRM berdekatan setiap Sabtu pertama setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 9 Januari depan. -- Sinar Harian