PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau maklumat teks menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutifnya seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan pihaknya memandang serius terhadap penyalahgunaan nama Ketua Pegawai Eksekutif LHDN di mana-mana platform atau sebarang kegunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.

"Justeru, ingin ditegaskan bahawa LHDN tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara ini dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita atau maklumat palsu," menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan secara amnya, sebarang penyebaran berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM).

Tiada sebarang teks menerusi aplikasi WhatsApp boleh dilakukan tanpa kebenaran.

LDHN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"LHDN mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang bentuk teks WhatsApp, e-mel, pautan yang mencurigakan serta laporkan mesej dan sekat nombor berkenaan," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA