Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang melaksanakan projek untuk memperkenalkan kaedah merekod transaksi jual beli getah secara elektronik di mana pihak peraih yang terpilih dibekalkan dengan sistem peranti untuk kemudahan merekod.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagaimanapun berkata projek itu masih di peringkat perintis dan hanya akan diperkenalkan di peringkat nasional setelah selesai peringkat perintis dan diterima pakai oleh pembeli.

“Kementerian belum lagi bercadang untuk memberikan peranti secara percuma memandangkan pembelian peranti oleh pembeli akan memberi penjimatan dari segi kos operasi dan masa. Penggunaan sistem secara dalam talian akan memudahkan sistem merekod transaksi jual beli,” katanya.

Shamsul berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Awang Hashim (Pas - Pendang) yang mahu tahu cadangan kementerian untuk memberi peranti secara percuma kepada pembeli atau peraih getah bagi mengakses sistem online subsidi getah.

Dalam pada itu Shamsul menjelaskan, hasil berkenaan akan dijual terus melalui koperasi melalui mekanisma penetapan harga untuk memastikan rantaian peraih tidak berlapis agar penoreh getah mampu mendapat hasil lebih tinggi.

Selain itu, pengenalan kepada sistem belian secara atas talian MyROL dan telah digunakan oleh empat pusat pembelian getah secara berkelompok turut menyumbang kepada hasil yang lebih memberangsangkana kepada pekebun kecil berkenaan.