KOTA BHARU: Seorang peniaga dalam talian dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memperdaya seorang imam yang juga bakal bapa mentuanya membabitkan kerugian lebih RM20,000.

Shah Jahan Sazali, 36, mengaku bersalah selepas enam pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa menipu mangsa yang berusia 65 tahun, dengan menjalankan perniagaan emas yang tidak wujud menyebabkan dia menyerahkan wang sebanyak RM24,200.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara 9 Ogos hingga 12 September lalu di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian, Kota Bharu.

Mahkamah | Lelaki dipenjara 3 tahun, 6 sebatan, tipu bakal mentua


Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Hukuman penjara bagaimanapun dijalankan serentak bermula tarikh jatuh hukuman.

Dalam prosiding berasingan, Shah Jahan mengaku bersalah terhadap tujuh lagi pertuduhan membabitkan penipuan terhadap mangsa yang sama dan seorang lagi mangsa lain.

Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa memperdaya mangsa yang sama, dengan mendakwa menjalankan perniagaan emas yang tidak wujud menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM16,000.

Perbuatan itu dilakukan antara 28 Jun hingga 5 September lalu di lokasi yang sama.

Sementara itu, dalam satu lagi pertuduhan Shah Jahan didakwa memperdayakan pesara guru berusia 74 tahun yang menyerahkan sebuah kereta jenis Proton Waja untuk dibaiki.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Muhammad Fitri menetapkan tarikh 28 November depan untuk sebutan semula kes bagi tujuh pertuduhan itu.

Terdahulu media melaporkan, seorang imam masjid kerugian lebih RM50,000 selepas ditipu seorang lelaki yang juga bakal menantunya sejak Jun hingga pertengahan September lalu.