GUA MUSANG: Lelaki berusia 39 tahun yang disyaki membunuh ibu tirinya dengan menetak kepala mangsa menggunakan sebilah parang sehingga putus di Kampung Batu Machang, Jerek, Gua Musang, Kelantan petang semalam, ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman sehingga 22 Februari depan itu dikeluarkan oleh Pengarah Mahkamah Negeri Kelantan, Zaman Mohd. Noor di Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, tahanan reman ke atas suspek itu membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan sebelum dibawa untuk proses pendakwaan di mahkamah.

BACA: Ibu maut, leher putus ditetak anak tiri penagih dadah

Putus Leher | Wanita maut ditetak anak tiri

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 54 tahun meninggal dunia selepas lehernya putus ditetak anak lelaki tirinya di rumah mereka di Kampung Batu Machang, Jerek.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang semalam itu, suspek telah hadir dan menyerah diri di Balai Polis Bertam di sini sebelum mengaku telah membunuh ibu tirinya dengan parang.