BERUAS: Seorang lelaki sempat menyelamatkan diri apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 218 Lebuh Raya Pantai Barat (WCE), dekat sini, malam tadi.

Pemandu kereta Proton Saga itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Empat orang, termasuk dua warga Pakistan yang berada di dalam kenderaan 4WD terlibat, turut mengalami kecederaan ringan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 10.17 malam.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Ford Ranger yang telah berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Saga, menyebabkan kereta itu terbakar 95 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan satu aliran salur bantu sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.