KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya di Klang, Selangor, awal bulan ini, ditahan ketika bersembunyi di Dannok, Thailand, Isnin lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa Thailand, suspek dikesan memasuki negara itu pada pukul 6.42 pagi, 11 Okt lepas melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Menurutnya maklumat diterima Unit Risikan Sempadan (URS) Zon Utara daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkaitan suspek berusia 32 tahun itu yang melarikan diri dan bersembunyi di Thailand.

"Suspek didapati memasuki Thailand dengan menaiki kereta Perodua Myvi warna kelabu bersama seorang lelaki dan seorang wanita. Hasil risikan mendapati lelaki itu menginap di sebuah hotel di Dannok," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menjelaskan maklumat yang diperoleh kemudiannya disalurkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk menahan dan mengusir suspek itu keluar dari negara tersebut berdasarkan rekod orang dikehendaki terhadapnya.

Razarudin berkata hasil kerjasama URS Zon Utara dan pihak berkuasa Thailand, suspek berjaya ditahan di hadapan sebuah kedai di pekan Dannok pada pukul 6.30 petang sebelum diusir keluar ke Malaysia setelah selesai dokumentasi oleh pihak berkuasa Thailand.

"Pasukan Balai Polis ICQS Bukit Kayu Hitam kemudian menahan suspek di pintu sempadan ICQS sebelum ditahan di balai sementara menunggu Pasukan JSJ IPK Selangor sampai untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata suspek yang disyaki terlibat dalam kes pemerasan dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya itu direman tujuh hari bermula Selasa lepas sehingga Isnin ini.

-- BERNAMA