GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas ditikam seorang lelaki disyaki warga tempatan dalam kejadian di Pulau Tikus di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata kejadian itu berlaku pada 5 petang dan mangsa berusia 48 tahun yang cedera parah telah dibawa ke sebuah klinik swasta di Jalan Datuk Keramat di sini untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa dibawa ke klinik swasta tersebut oleh rakannya sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira 6 petang tadi dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek dan mengenal pasti punca insiden tersebut berlaku.

Lee berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

-- BERNAMA