KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan dadah maut selepas terjun dari sebuah jambatan di Kampung Bujal Payoh Kijal, Kemaman, ketika mengelak dari pemeriksaan polis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata pada kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, pihaknya mengesan lelaki itu dalam keadaan mencurigakan di atas jambatan berkenaan.

"Hasil maklumat berhubung kegiatan penjualan dadah, polis telah menghampiri lelaki berusia 23 tahun itu dengan menaiki kereta sebelum dia bertindak terjun dari jambatan yang berketinggian lebih 12 meter itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata di bawah jambatan tersebut ialah kawasan berbatu dan kawasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang belum siap.

Beliau berkata sejurus selepas itu, polis bergegas mendapatkannya dan pemeriksaan mendapati berlaku kecederaan di bahagian kepala lelaki tersebut, sebelum pihaknya menghubungi pasukan perubatan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan hasil bedah siasat Unit Forensik Hospital Kemaman, mengesahkan kematian lelaki itu akibat kecederaan di kepala kerana terjatuh dari tempat tinggi.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

-- BERNAMA