GEORGE TOWN: Lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian dera membabitkan isteri dan sembilan anaknya dalam kejadian di daerah Timur Laut, di sini, baru-baru ini disambung reman sehingga 10 Jan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra'ais berkata lelaki berusia 41 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu tamat reman semalam namun polis memohon untuk menyambung reman bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Lelaki itu ditahan pada 31 Dis lepas dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial seorang wanita bersama sembilan anaknya diselamatkan oleh beberapa individu dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang selepas menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental oleh suami mangsa.

Berdasarkan gambar yang tular juga mendapati terdapat kesan kecederaan melibatkan beberapa anak pasangan itu malah wanita tersebut turut mendakwa dia juga didera fizikal dan mental sehingga bertindak meminta bantuan beberapa individu untuk melarikan diri daripada suspek kerana sudah tidak tahan.

-- BERNAMA