Ringkasan AI
- Seorang lelaki, Fikri Zakaria, dipenjara 16 bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menyembunyikan wang pelaburan saham milik seorang peniaga berjumlah RM856,000.
- Fikri didakwa mengalihkan atau menyembunyikan wang tersebut ke dalam akaun bank miliknya di Taman Kepong antara 16 September hingga 22 Oktober 2024, dan didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.
- Pengadu, seorang peniaga wanita, ditipu melalui pelaburan saham palsu yang ditawarkan oleh seorang wanita dikenali sebagai Serena Tan, menyebabkan kerugian RM1.46 juta. Hasil siasatan mendapati 15 transaksi berjumlah RM856,000 dimasukkan ke dalam akaun Fikri.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Fikri Zakaria, 38, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Lelaki itu didakwa mengalihkan atau menyembunyikan wang milik peniaga wanita berumur 31 tahun dengan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh di sebuah rumah di Taman Kepong di sini, antara 16 Sept hingga 22 Okt 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, wanita berkenaan yang merupakan pengadu menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita dikenali sebagai Serena Tan menawarkan pelaburan saham dengan menjanjikan keuntungan berlipat ganda.
Pengadu dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dan diarahkan memuat naik aplikasi pelaburan saham sebelum dia membuat 25 transaksi wang secara berperingkat berjumlah RM1.46 juta ke dalam tiga akaun Hong Leong masing-masing atas nama PCP Capital Trading, Perception Capital Group Solution dan PCT Capital bermula 16 Sept hingga 22 Okt 2024 atas arahan Serena.
Pengadu dijanjikan keuntungan yang akan dibayar ke dalam akaun aplikasi saham dengan dia melihat keuntungan terkumpul di dalam aplikasi itu.
Semasa pengadu mahu mengeluarkan keuntungan tersebut, transaksi telah ditolak dan dia diminta untuk membayar wang tambahan serta pelbagai alasan diberikan sebelum wanita itu mengesyaki telah ditipu dengan mengalami kerugian RM1.46 juta.
Hasil siasatan mendapati penyata akaun tertuduh atas nama Perception Capital Group Solution mengesahkan terdapat kemasukan wang pengadu bertarikh 18 Sept hingga 11 Okt 2024 sebanyak 15 transaksi berjumlah RM856,000.
Semasa rayuan terhadap hukuman, Fikri memohon hukuman ringan kerana dia yang merupakan duda dan mempunyai seorang anak hanya melakukan kerja-kerja kampung termasuk memotong rumput serta insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.
Timbalan Pendakwa Raya M Saravanan memohon hukuman setimpal berbentuk pencegahan dan pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira jumlah kerugian amat besar dialami pengadu.
"Banyak sindiket beroperasi secara modus operandi sebegini dalam negara ini dengan kerugian amat besar dialami kebanyakan rakyat Malaysia serta kesalahan berkenaan kerap berlaku di negara ini," katanya.
-- BERNAMA