JERTIH: Seorang pekerja penyelenggaraan dan pembersihan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari tingkat lima air terjun Hutan Lipur Lata Tembakah di Hulu Besut dekat sini, petang semalam.

Mangsa, Abdul Wahab Mat Sulaiman, 25, dilaporkan terjatuh ketika sedang melakukan kerja membaiki saluran paip bersama adiknya, Abdul Wahud, 19, di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Besut Supt. Abdul Rozak Muhammad berkata insiden itu berlaku pada kira-kira 2 petang sebelum polis menerima laporan kejadian pada 4.30 petang.

"Mangsa merupakan pekerja sebuah syarikat kontraktor di hutan lipur itu dan naik ke kawasan air terjun tersebut untuk membaiki saluran paip (air tandak) yang rosak dipercayai akibat arus sungai yang deras ketika banjir baru-baru ini.

"Bagaimanapun, ketika melakukan kerja pembaikan itu mangsa tergelincir lalu jatuh ke bahagian bawah air terjun," katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Rozak berkata susulan kejadian itu operasi mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan membabitkan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Jertih.

-- BERNAMA